Duke tak naik tol 6 tahun | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

UALA LUMPUR: Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bernilai RM892 juta yang mula beroperasi semalam tidak akan menyaksikan sebarang kenaikan kadar tol untuk tempoh enam tahun, kata Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed. 

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan untuk hanya membenarkan pemegang konsesi Duke mula mengutip tol RM2 kepada pengguna Duke bermula 8 Februari ini. 

Beliau berkata, pembinaan Duke yang mengambil masa tiga tahun dilengkapi tujuh persimpangan bertingkat dan ia beroperasi secara sistem tol terbuka. 

"Melalui sistem tol terbuka ini, pengguna akan hanya dikenakan bayaran sekali untuk ke mana-mana lokasi di sepanjang jajaran lebuh raya ini. 

"Ia kerana 46 peratus daripada laluan lebuh raya ini adalah laluan bebas tol. Saya percaya pengecualian bayaran tol sehingga 8 Februari ini adalah pengumuman menggembirakan pengguna Duke semasa musim perayaan Tahun Baru Cina," katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Terdahulu, Mohd Zin menyempurnakan majlis pembukaan fasa pertama Duke iaitu dari Persimpangan Duta ke Jalan Kuching dan Persimpangan Greenwood ke Persimpangan Hillview. 

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Razali Othman. 

Mohd Zin berkata, pembukaan Duke hari ini (semalam), merangkumi keseluruhan jajaran Seksyen 2 dan Seksyen 3 serta sebahagian Seksyen 1. 

"Bahagian fasa pertama Duke yang dirasmikan hari ini (semalam) merangkumi Seksyen 2 dan Seksyen 3, sepanjang 12.7 kilometer. 

"Kerja pembinaan Seksyen 1 dijangka siap April tahun ini dan apabila siap sepenuhnya dan dibuka kepada lalu lintas, ia melengkapi pembukaan keseluruhan jajaran lebuh raya ini," katanya. 

Mohd Zin berkata, Duke mempunyai tiga plaza tol iaitu Plaza Tol Batu (Seksyen 1), Plaza Tol Ayer Panas (Seksyen 2) dan Plaza Tol Sentul Pasar (Seksyen 3). 

"Lebuh raya ini akan menjadi laluan alternatif utama kepada penduduk ibu kota dan saya percaya ia mampu melicinkan pergerakan trafik," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Projek Duke, Chua Soo Kok, berkata lebuh raya terbaru di Lembah Klang sepanjang 18 kilometer itu mempunyai kapasiti penuh mengendalikan sehingga 120,000 kenderaan sehari. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian