LPT bukan projek pilihan raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA TERENGGANU: Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) fasa dua sejauh 185 kilometer bernilai RM3.7 bilion yang kini siap 41 peratus adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan projek secara berterusan, sekali gus menolak dakwaan kononnya projek pembangunan di negara ini, termasuk di Terengganu dilaksanakan secara bermusim. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata pelaksanaan setiap projek membabitkan perancangan teliti kerana tiada projek boleh dirancang dan dilaksana dalam tempoh semalaman. 

Katanya, kerajaan Pusat tidak pernah menganak tiri atau mengabaikan mana-mana negeri daripada arus pembangunan. 

"Layanan diberikan kepada Terengganu sama seperti negeri lain, tidak kira sama ada ia pada musim pilihan raya atau tidak. 

"Jadi tidak timbul soal projek untuk pilihan raya kerana semua dirancang sejak sekian lama. Seperti projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), perancangan dibuat sejak 2006. Dakwaan projek pilihan raya tidak masuk akal dan ia adalah tindakan terdesak pembangkang untuk meracuni fikiran rakyat," katanya selepas menghadiri majlis taklimat projek LPT fasa dua di sini, semalam. 

Mohd Zin berkata, bagi tempoh RMK-9, Terengganu menikmati peruntukan RM8.1 bilion, jauh lebih tinggi berbanding royalti petroleum yang diterima kerajaan Terengganu sejak 2000 iaitu sebanyak RM6.218 bilion. 

Katanya, LPT fasa dua yang bermula Mac 2006 dan dijangka siap Mei 2011 merancakkan lagi ekonomi dan industri utama dan hiliran tempatan seperti pengusaha pasir, batu kuari, kedai alat ganti, kilang besi, kilang pembancuh konkrit dan kedai perkakasan. 

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya itu memberi kemudahan kepada pengguna di Pantai Timur, khususnya di Terengganu, selain bertindak sebagai pemangkin kemajuan di negeri itu seperti peningkatan taraf sosioekonomi, pembukaan bandar baru, industri kecil dan sederhana serta mengembangkan lagi industri pelancongan. 

"LPT fasa dua juga mengimbangi kadar pertumbuhan ekonomi yang sama rata di antara negeri di Pantai Timur dan Pantai Barat seiring dengan pelancaran pembangunan Koridor Pantai Timur (ECER)," katanya. 

Ditanya mengenai kadar tol, beliau berkata, sama ada pengguna dikenakan tol atau tidak, akan diputuskan Mei ini. Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kadar dikenakan tidak membebankan pengguna. 

Mohd Zin berkata, selain LPT fasa dua, sebanyak 365 projek pembangunan dirancang di Terengganu dalam RMK-9 termasuk 71 projek yang sudah siap. 

Katanya, bagi tempoh 2006-2008, Terengganu menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM2.53 bilion dan daripada jumlah itu, RM2.4 bilion dibelanjakan untuk projek dirancang. 

Bagi tempoh dua tahun lagi, Terengganu akan menerima peruntukan RM2.4 bilion. 

"Semua projek dirancang adalah untuk jangka panjang dan bukan bermusim seperti yang didakwa pembangkang. Setiap projek sudah tentu mempunyai prospek positif ke arah menaik taraf negeri ini dan membuka peluang pekerjaan baru kepada penduduk," katanya. 

Mengenai projek lebuh raya menghubungkan Terengganu dan Kelantan, Mohd Zin berkata, projek berkenaan masih pada peringkat kajian dan jika dilaksanakana, projek itu akan bermula dalam RMK-10. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian