KUALA LUMPUR- Industri pembinaan negara semakin diiktiraf di Syria apabila dua lagi syarikat tempatan bakal memuktamadkan pelaksanaan dua projek di negara itu yang bernilai kira-kira RM 1.8 bilion.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, dua projek itu ialah menaik taraf Lingkaran Lebuh Raya Damascus (DRH) oleh HCM Engineering Sdn. Bhd dan pembinaan tempat letak kereta bertingkat serta terowong lalu lintas oleh Protosco Berhad.
Katanya, kepercayan Syria terhadap kepakaran syarikat tempatan untuk melaksanakan dua projek penting itu amat membanggakan kerana ia adalah sebuah negara besar dalam Liga Arab.
"Projek menaik taraf DRH akan memberi rangsangan kepada pembangunan Damascus sekali gus membuka satu koridor pembangunan baru.
"Pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan terowong lalu lintas pula akan membantu menyelesaikan kesesakan lalu lintas yang kritikal di Damascus yang merupakan sebuah bandar lama," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Perdana Menteri Syria, Mohammad Naji Otri ke Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
Pada lawatan itu, Mohammad Naji dan delegasinya diberi penerangan mengenai pencapaian dan kemajuan industri pembinaan negara.Mohd Zin berkata, selain dari pada projek itu, pada masa ini dua syarikat pembinaan Malaysia sedang melaksanakan dua projek pembinaan di Syria.
Katanya, projek berkenaan ialah mengubahsuai dan menaik taraf Lapangan Terbang Antrabangsa Damsyik serta mereka dan membina sistem rawatan kumbahan dan loji penapisan air.
"Saya telah melawat projek lapangan terbang itu dan mendapati kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh pekerja Malaysia yang berasal dari Sarawak , bukanya buruh dari Indonesia dan Bangladesh.
"Mereka ini mampu berkerja dalam keadaan cuaca yang ekstrem, ini membuktikan kita ada keupayaan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Mohd Zin berkata sehingga November lalu sebanyak 361 projek bernilai RM 27 blion telah disiapkan oleh syarikat pembinaan tempatan di luar negara.
Katanya projek terbabit dilaksanakan di 39 buah negara antaranya seperti India, Kemboja, China dan Jepun.
"Pada masa ini, syarikat Malaysia masih melaksanakan 103 projek di luar negara dengan nilai RM 70,05 bilion," katanya