KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kementerian Kerja Raya tidak menetapkan tempoh untuk mengemukakan pertanyaan berhubung kandungan perjanjian konsesi lebuh raya yang dibuka untuk semakan umum bermula 2 Januari lalu.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, semua pihak boleh berbuat demikian pada bila-bila masa dan beliau bersedia menjawabnya selagi memegang portfolio itu.
Katanya, sesetengah persoalan yang dibangkitkan melalui media sebenarnya telah dijawab beliau pada sidang Dewan Rakyat sebelum ini.
"Kita tidak tetapkan tempoh kerana dokumen terbabit telah dibuka untuk semakan, bukannya hari ini kita buka dan dalam tempoh seminggu lagi kita tutup balik.
"Selagi saya Menteri Kerja Raya, saya akan jawab kerana itu adalah tugas hakiki saya untuk membuat penjelasan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Perdana Menteri Syria, Mohammad Naji Otri ke Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan komitmen Mohd. Zin untuk menjawab persoalan berhubung kandungan dokumen perjanjian konsesi lebuh raya dan meminta ia dikemukakan secara bertulis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini pihaknya tidak menerima pertanyaan secara rasmi sebaliknya hanya membacanya di akhbar-akhbar.
Katanya, walaupun hanya mengetahuinya melalui akhbar, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan.
"Adalah lebih membantu jika mereka kemukakan memorandum, kemudian saya akan menelitinya secara terperinci.
"Namun harus diingatkan, untuk membuat kesimpulan selepas membaca dokumen yang komprehensif itu hanya dalam masa dua jam, saya rasa itu tidak wajar kerana ia perlu dikaji secara mendalam," tegasnya.
Mengulas mengenai kadar tol di Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari lalu, Mohd. Zin berkata, beliau akan mengemukakan dokumen cadangan pada mesyuarat Kabinet minggu depan.
"Biarlah Kabinet meneliti isu itu dan kemudiannya kita akan buat pengumuman rasmi, saya tidak boleh mendahului Kabinet," katanya.