Tempoh konsesi Lebuh Raya Sprint dilanjut 37 tahun | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR.- Kerajaan telah bersetuju memanjangkan tempoh konsesi daripada 33 tahun sehingga 37 tahun kepada syarikat pengendali Lebuh Raya Skim Penguraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint).

Persetujuan itu dinyatakan dalam perjanjian tambahan konsesi antara Sprint dan Kerajaan Malaysia yang ditandatangani pada 27 Disember 2001.

Langkah memanjangkan tempoh konsesi itu sekali gus menyaksikan syarikat berkenaan menyasarkan pendapatan terkumpul sepanjang tempoh itu sebanyak RM16.7 bilion.

Dalam perjanjian itu, Sprint menjangkakan pendapatan tahunan pada 2034 sebanyak RM380.73 juta, berkurangan daripada anggaran perjanjian asal iaitu RM812.10 juta yang sepatutnya berakhir pada 2030 dan jangkaan pendapatan terkumpul bagi tahun terakhir itu juga berkurangan daripada unjuran asal RM16.9 bilion.

Menurut perjanjian tambahan itu juga, kadar tol yang dipersetujui bagi tiga tempoh sebelum ini juga telah dipinda.

Bagi tempoh 2000-2011, bayaran tol bagi Plaza Tol Bukit Penchala ialah RM2 untuk kelas 1, RM4 (bagi kelas 2), RM6 (Kelas 3), RM1 (kelas 4) dan  RM2 (Kelas 5)

Bagi Plaza Tol Pantai pula, kadarnya diturunkan kepada RM1.50 daripada RM2.00 bagi kelas 1, RM3 daripada RM4 (Bagi kelas 2), RM4.50 daripada RM6 (kelas 3), 80 sen daripada RM1 (kelas 4) dan RM1.50 daripada RM2 (kelas 5).

Plaza Tol Jalan Damansara pula kadar tolnya bagi kelas 1 ialah RM1 berbanding kadar lama, RM1.20, Kelas 2 - RM2 (kadar lama RM2.40), kelas 3 - RM3 (RM3.60), kelas 4 - 50 sen (60 sen) dan kelas 5 ? RM1 (RM1.20).

Bagi tempoh kedua iaitu dari 2012 - 2020, Plaza Tol Bukit Penchala mengenakan tol RM3 (kelas 1), RM6 (kelas 2), RM9 (kelas 3), RM1.50 (kelas 4) dan RM3 (kelas 5); Plaza Tol Pantai pula kadar kelas 1 ialah RM2.50 (kadar lama RM3), kelas 2 ? RM5 (RM6), kelas 3 - RM7.50 (RM9), kelas 4 ? RM1.30 (RM1.50), kelas 5 ? RM2.50 (RM3), dan Plaza Tol Jalan Damansara, Kelas 1- RM1.50 (RM1.70), kelas 2 - RM3 (RM3.40), kelas 3 - RM4.50 (RM5.10), kelas 4 - 80 sen (90 sen) dan kelas 5 - RM1.50 (RM1.70).

Bagi tempoh ketiga, 2021 - 2030, Plaza Tol Bukit Penchala, RM5 (kelas 1), RM10 (kelas 2), RM15 (kelas 3), RM2.50 (kelas 4) dan RM5 (kelas 5); Plaza Pantai, kelas 1 - RM3.50 (RM5) , kelas 2 - RM7 (RM10), kelas 3 - RM10.50(RM15), kelas 4 - RM1.80 (RM2.50), kelas 5 - RM3.50 (RM5), kelas 2 - RM7 (RM10), dan Plaza Tol Jalan Damansara, kelas 1 - RM2 (RM5), kelas 2 - RM4 (RM5), kelas 3 - RM6 (RM7.50), kelas 4 - RM(1.30), dan kelas 5 - RM2 (RM2.50).

Untuk tempoh keempat pula iaitu dari tahun 2031 - 2034, yang sebelum ini tiada dalam perjanjian asal yang ditandatangani pada 23 Oktober 1997, hanya dua plaza tol yang beroperasi iaitu Pantai dan Jalan Damansara iaitu RM4.50 dan RM2.50 (kelas 1), RM9 dan RM 5 (kelas 2), RM13.50 dan RM7.50 (kelas 3), RM2.30 dan RM1.30 (kelas 4) dan RM4.50 serta RM2.50 (kelas 5).

Lebuh Raya Sprint sepanjang 26.5 kilometer itu mempunyai tiga laluan utama yang menghubungkan antara satu sama lain iaitu Damansara Link, Kerinchi Link dan Penchala Link. 

Pada 18 November tahun lalu, Menter Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed berkata, semua syarikat konsesi lebuh raya kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur - Putrajaya, bersetuju mendedahkan kepada umum perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat terlibat kepada umum.

Dokumen perjanjian tersebut boleh disemak mulai 1 Januari lalu di Perpustakaan Kementerian Kerja Raya, Tingkat 6, Blok B, Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin di sini.            

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia