Pinjaman RM 300 j turunkan tol Lebuh Raya Elite | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 7 Jan- Kerajaan terpaksa menyediakan kemudahan pinjaman tanpa  faedah sebanyak RM300 juta kepada Expressway Lingkaran Tengah Sdn Bhd. Sebagai balasan kepada persetujuan syarikat itu menurunkan tol di Lebuh Raya Lingkaran Tengah (Elite) pada 1 Januari 2002.

Dalam perjanjian tambahan ketiga konsesi lebuhraya itu yang ditandatangai pada 10 Januari 2003, kerajaan turut membenarkan Elite membayar balik pinjaman tersebut secara sepenuh pada 2015.

Kerajaan turut bersetuju melepaskan haknya untuk mendapatkan faedah ke atas pinjaman RM100 juta yang disediakan pada syarikat pemegang konsesi berkenaan pada 15 Disember 2000 di samping melanjutkan tempoh konsesi pada 31 Mei 2030.

Pada 1 Januari 2002, kadar tol di lebuh raya Elite dikurangkan kepada 12.36 sen setiap kilometer bagi kenderaan kelas 1 sedangkan kadar yang dipersetujui sebelumnya ialah 15.01 sen.

Kadar tol di lebuh raya Elite dijadualkan dinaikkan  pada 2011 kepada 16.46 sen setiap kilometer bagi kenderaan kelas 1, 24.68 sen (kelas 2), 32.90 sen (Kelas 3), 8.23 sen (kelas 4) dan 12.34 sen (kelas 5).

Kerajaan Malaysia menadatangani perjanjian konsesi dengan syarikat United Engineers (M) Berhad (UEM) pada 26 April 1994 untuk membina dan mengendali lebuh raya sepanjang 48 kilometer yang bersambung dengan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) di persimpangan Hicom Timur, Shah Alam dan berakhir di Nilai, Negeri Sembilan.

Perjanjian itu menyatakan bahawa kerajaan perlu mendahulukan pembiayaan pengambilan tanah berjumlah RM120 juta dan perlu dipulangkan oleh syarikat itu kepada kerajaan secara berperingkat dalam tempoh enam tahun bermula 2015.

Perjanjian konsesi tersebut berserta tiga perjanjian tambahan telah dikelaskan semula sebagai dokumen terbuka yang boleh didapati di Kementerian  Kerja Raya  bermula 2 Januari lalu. Dokumen itu sebelum ini dikelaskan sebagai rahsia dan tertakluk pada Akta Rasmi 1972.

Dalam pada itu, setelah masuk hari keempat 22 dokumen perjanjian konsesi lebuh raya didedahkan kepada umum, tidak ada  orang awam yang mendaftar untuk meneliti dokumen berkenaan. Hanya wartawan dan jurugambar yang masih berminat melaporkan kandungan perjanjian berkenaan.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia