SEJUMLAH 99 kontraktor tempatan sudah menawarkan perkhidmatan di 43 negara, membabitkan 456 projek bernilai RM 90.2 bilion setakat September 2008, kata Kementerian Kerja Raya semalam.
Jumlah itu merangkumi 363 projek yang sudah siap bernilai RM 27.9 bilion dan 93 projek dalam pembinaan bernilai RM 62.3 bilion, kata Menteri berkenaan, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dalam satu kenyataan sempena lawatan Perdana Menteri Syria, Mohammad Naji Otri, ke Malaysia.
Mohammad Naji tiba di Kuala Lumpur semalam untuk lawatan rasmi empat hari yang antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Antara lain, Mohammad Naji akan menghadiri majlis makan tengah hari dengan peneraju industri Malaysia di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
"Kontraktor Malaysia berjaya melakar nama dan memperoleh kontrak pelaksanaan projek-projek luar negara,"katanya.