KUALA LUMPUR 6 Jan. - Perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. adalah satu-satunya perjanjian konsesi lebuh raya di negara ini yang mensyaratkan penyertaan 30 peratus kontraktor bumiputera dalam projek pembinaan kemudahan itu.
Semakan Utusan Malaysia terhadap dokumen perjanjian asal bagi projek pembinaan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) itu mendapati terdapat juga syarat supaya 30 peratus pembekal bahan binaan adalah syarikat bumiputera.
Menurut dokumen berkenaan, syarikat bumiputera yang layak terlibat dengan projek bernilai RM1.93 bilion berkenaan haruslah berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Syarat 30 peratus itu juga ditetapkan dalam perlantikan syarikat bagi menyelenggara SMART setelah ia siap dibina.
Sejak Jumaat lalu, orang ramai boleh menyemak dokumen perjanjian konsesi 20 lebuh raya di perpustakaan Kementerian Kerja Raya selari dengan keputusan Kabinet pada 17 Oktober lalu untuk mendedahkannya.Bagaimanapun, orang ramai tidak dibenarkan mendapatkan salinan perjanjian konsesi sehinga perintah Yang Dipertuan Agong di bawah Seksyen 3 Akta Fi 1951 dibuat dan dibentangkan di Dewan Rakyat dan diwartakan mengikut Seksyen 4 akta yang sama.
Kerajaan memutuskan untuk mendedahkan kepada umum dokumen perjanjian tersebut berikutan banyak pihak mendakwa ia berat sebelah kerana lebih menguntungkan syarikat pemegang konsesi.
Perjanjian bagi projek SMART yang ditandatangai pada 2 Jun 2004 turut mensyaratkan pembinaannya mesti menggunakan tenaga kerja dan bahan binaan tempatan sepenuhnya.
Penggunaan buruh asing dan bahan binaan dari luar negara hanya dibenarkan setelah kerajaan berpuas hati bahawa sumber tempatan tidah boleh diperolehi.
Dokumen itu turut menyatakan bahawa kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi sekiranya sasaran kutipan tol yang ditetapkan dalam perjanjian tidak dapat dicapai.
Dalam pada itu, sekiranya kutipan tol melebihi sasaran, maka syarikat pemegang konsesi hanya perlu memulangkan 40 peratus daripada lebihan berkenaan kepada kerajaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San pada sidang akhbar selepas membuat semakan terhadap dokumen perjanjian projek SMART meminta kerajaan memberi penjelasan sama ada syarat penyertaan 30 peratus bumiputera akan turut dikenakan terhadap projek lebuh raya baru.
"Semakan terhadap 19 perjanjian konsesi lebuh raya yang ditandatangai sebelum SMART mendapati tiada syarat sama dikenakan terhadap projek lebuh raya baru.
"Semakan terhadap 19 perjanjian konsesi lebuh raya yang ditandatangai sebelum SMART mendapati tiada syarat sama dikenakan, jadi kita ingin tahu adakah ia akan diwajibkan pada masa depan,"ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga ingin tahu adakah syarat sama dikenakan terhadap Maju Expressway Berhad yang mengurus Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya yang dokumen perjanjian belum didedahkan kepada umum.