KUALA LUMPUR 6 Jan. - Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed bersedia menjawab apa jua persoalan yang berbangkit berhubung kandungan dokumen perjanjian konsesi lebuh raya yang dibuka untuk semakan umum bermula 2 Januari lalu.
Beliau bagaimanapun berkata, semua pihak termasuk parti pembangkang perlu mengemukakan pertanyaan secara rasmi melalui surat kepada Kementerian Kerja Raya.
Katanya, antara tujuan pendedahan dokumen perjanjian konsesi itu kepada umum adalah untuk menjawab sebarang persoalan daripada masyarakat.
"Kementerian tiada masalah dengan persoalan yang ditimbulkan, kita akan sediakan maklumat bagi menjawabnya.
"Mereka boleh hantar surat kepada Kementerian Kerja Raya dan kita akan jawab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, buat pertama kalinya orang awam berpeluang menyemak dokumen perjanjian konsesi lebuhraya di Perpustakaan Kementerian Kerja Rya, Tingkat 6, Blok B, Kompleks Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, di sini.
Semua syarikat konsesi lebuh raya kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya telah bersetuju untuk mendedahkannya.
Serentak dengan itu, pelbagai persoalan dibangkitkan antarnya oleh Pem,uda MCA yang akan menubuhkan unit khas untuk mengkaji kandungan perjanjian itu.
Antara yang ditimbulkan mereka ialah gesaan supaya Ketua Audit Negara menyiasat beberapa perkara termasuk kadar tol yang telah dipersetujui.
Pemuda MCA turut mempersoalkan mengapa syarikat konsesi terbabit yang merupakan entiti swasta terlalu bergantung kepada pinjaman kerajaan termasuklah dikecualikan daripada faedah untuk sejumlah pinjaman awal.
Ditanya bila pihak Kementerian akan menjawab persoalan yang dibangkitkan, Mohd Zin berkata, ia akan dibuat apabila pertanyaan berkaitannya diterima secara rasmi.
"Bagaimana saya nak jawab sekarang, saya belum terima soalan lagi.
"Kalau ada benda yang belum jelas, mereka boleh kemukakan soalan terlebih dahulu," katanya.