SEJUMLAH 99 kontraktor tempatan menawarkan perkhidmatan di 43 negara, membabitkan 456 projek bernilai RM90.2 bilion setakat September 2008, kata Kementerian Kerjaraya.
Menterinya, Datuk Mohd Zin Mohamed, berkata jumlah berkenaan merangkumi 363 projek yang sudah siap bernilai RM27.9 bilion, dan 93 projek dalam pembinaan bernilai RM62.3 bilion.
"Kontraktor Malaysia berjaya melakar nama dan memperoleh kontrak pelaksanaan projek di luar negara. Antara negara yang diberi tumpuan ialah Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, Qatar, Libya, Sudan, India dan negara anggota Asean serta negara seperti Syria, Laos dan Turkmenistan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan Perdana Menteri Syria Mohammad Naji Otri, ke Malaysia.
Mohammad Naji tiba di negara ini semalam untuk lawatan rasmi empat hari yang antara lain bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Antara lain, Mohammad Naji menghadiri majlis makan tengah hari dengan peneraju industri Malaysia di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Mohd Zin menambah, banyak peluang yang boleh diceburi oleh kontraktor tempatan di pasaran antarabangsa menerusi pendekatan serta bimbingan kerajaan melalui agensi kementerian seperti CIDB.
"Kita juga boleh bergerak selangkah lagi menerusi pembabitan secara memberikan pakej perkhidmatan penyelesaian menyeluruh yang merangkumi perunding, kontraktor, pembekal, pembiaya kewangan serta tenaga kerja mahir," katanya.