PETALING JAYA - Diskaun tol tambahan 10 peratus akan dinikmati pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang cuti perayaan Tahun Baru Cina.
Pengarah Urusan Plus Expressways Berhad (Plus), Noorizah Abd Hamid berkata, diskaun tol tambahan tersebut adalah susulan kepada diskaun 10 peratus yang diberikan sebelum ini kepada pengguna lebuh raya itu di bawah insentif yang ditawarkan Plus sejak 1 Januari lalu.
"Pengguna akan dapat menikmati diskaun atau potongan bayaran tol itu sekiranya menggunakan lebuh raya Plus bermula jam 12 tengah malam hingga tujuh pagi pada 21, 22, 23, 26, 29 dan 30 Januari ini.
"Pemberian diskaun ini merupakan langkah proaktif dan komited pihak kami dalam menangani masalah kesesakan Lalu lintas terutama pada musim perayaan ini," katanya dalam sidang media Persiapan Plus Menjelang Musim Perayaan di sini, semalam.
Menurutnya, walaupun pemberian diskaun itu diberikan bermula jam 12 tengah malam, tidak bermakna pengguna digalakkan untuk memulakan perjalanan pada waktu tersebut tetapi sekadar memberi pengguna pilihan agar dapat mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
"Pada musim perayaan ini pihak kami menjangkakan kira-kira 1.1 hingga 1.3 juta kenderaan sehari akan memasuki lebuh raya. Justeru untuk mengelakkan kesesakan ini, pengguna boleh memilih untuk tidak memulakan perjalanan pulang ke kampung pada waktu puncak," katanya.
Noorizah berkata, pihaknya juga akan membuka semua lorong untuk membayar tol, menyediakan lorong tol sementara, menambah bilangan kakitangan di semua plaza tol dan petugas PlusRonda mengawal lalu lintas serta pemandu yang terkandas dalam perjalanan.
Orang ramai yang ingin merancang perjalanan supaya tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pulang ke kampung halaman boleh mendapatkan jadual berkenaan menerusi hebahan di radio, risalah yang diedarkan di plaza tol serta boleh menghubungi talian bebas tol Plus di 1-800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat lanjut.