Plus sedia jadual perjalanan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Plus Expressways Bhd (Plus) akan mengumumkan jadual perjalanan berperingkat di Lebuh Raya Utara-Selatan pada 20 Januari ini yang dibuat sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina pada 26 Januari ini bagi melancarkan laluan trafik. 

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Plus, Khalilah Mohd Talha, berkata seperti kebiasaan bagi tahun sebelum ini, syor berkenaan antara lain mencadangkan waktu perjalanan paling sesuai bagi pengguna yang mahu ke destinasi tertentu untuk kemudahan serta keselesaan pengguna. 

"Plus melaksanakan jadual perjalanan berperingkat selepas melihat kejayaan pelaksanaan konsep yang sama menerusi jadual perjalanan yang dikeluarkan sempena musim cuti perayaan tahun terdahulu. 

"Mengikut penelitian, berdasarkan jadual perjalanan yang dibuat pada musim perayaan tahun sebelumnya, sebanyak 65 hingga 70 peratus pengguna mengikut syor yang dicadangkan sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pengguna menikmati perjalanan lancar," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 

Khalilah berkata, sempena musim perayaan ini, pengguna juga dapat menikmati potongan bayaran tol sebanyak 10 peratus kerana insentif yang ditawarkan Plus sejak 1 Januari lalu sekiranya menggunakan lebuh raya Plus bermula jam 12 tengah malam hingga 7 pagi. 

"Bagi musim perayaan ini, potongan bayaran tol 10 peratus lagi diberikan kerana insentif perayaan yang ditawarkan Plus selama enam hari yang mana hari berkenaan akan ditentukan kelak dan pengumuman mengenainya turut dibuat pada 20 Januari ini," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuka semua lorong untuk membayar tol, menambah bilangan kakitangan di semua plaza tol dan petugas PlusRonda untuk mengawal lalu lintas serta membantu pemandu yang terkandas dalam perjalanan. 

Orang ramai yang ingin merancang perjalanan supaya tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika pulang ke kampung halaman boleh mendapatkan jadual berkenaan menerusi hebahan di radio, risalah yang diedarkan di plaza tol serta maklumat di televisyen dan akhbar selain menghubungi talian bebas tol Plus di 1 800 88 0000 untuk mendapatkan maklumat lanjut. 


 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia