KUALA LUMPUR 18 Jan. - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pengurusan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak diminta membina parit berhampiran loji rawatan air yang terletak berdekatan lebuh raya berkenaan bagi mengelak berulangnya pencemaran bekalan air akibat tumpahan minyak.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail berkata, tumpahan minyak sawit baru-baru ini yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di lebuh raya itu merupakan kejadian kali ketiga berlaku dan ia boleh dielakkan.
Menurut beliau, selepas kejadian tumpahan minyak kali kedua berlaku pada 2006, pihaknya telah menghantar notis kepada pihak berkenaan supaya menyegerakan pembinaan parit itu tetapi sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.
"Pembinaan parit ini amat penting kerana ia mampu menghalang tumpahan minyak daripada terus memasuki Loji Rawatan Air Sungai Gombak di Batu 14 sekali gus dapat mengelakkan 18,000 pengguna di kawasan itu terputus bekalan air," katanya.
Kemalangan membabitkan lori tangki di Kilometer 28 Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur pada 13 Januari lepas bukan sahaja mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit malah menyebabkan gangguan bekalan air di lapan kawasan utama membabitkan 18,000 pengguna.
Antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air akibat penutupan loji itu ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut British Malaysia (BMI), Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Menengah Integrasi Gombak, Tol Lebuh Raya Karak, Sekolah Al Amin Gombak, Sekolah Antarabangsa Islam dan Stesen Minyak BHP di Lebuh Raya Karak.
Bekalan air ke kawasan terganggu pulih pada 15 Januari lalu, pukul 11 malam, dua hari selepas Loji Rawatan Air Sungai Gombak diberhentikan operasinya.