KUALA LUMPUR 14 Jan. - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyediakan Tabung Bantuan Palestin di setiap plaza tol di seluruh negara bagi memudahkan pengguna lebuh raya menghulurkan bantuan dalam bentuk baki bayaran tol, untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang sedang menjadi mangsa serangan ganas Israel di Gaza.
Pengerusi LLM Datuk Syed Jamal Syed Jaafar berkata semua 24 syarikat konsensi LLM bersetuju untuk menyediakan tabung berkenaan di plaza tol masing-masing secepat mungkin.
"Pengguna boleh mendermakan baki selepas membayar tol ke tabung berkenaan, walaupun sedikit tetapi yang penting ikhlas,? katanya selepas melancarkan Majlis Pernyataan Komitmen Tanggungjawab Korporat LLM dan Syarikat Konsesi di sini hari ini.
"Kami yakin boleh dapat kutipan yang banyak sebab terdapat lebih 100 plaza tol di seluruh negara ketika ini," katanya.
Pada majlis yang sama, 104 kakitangan LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang kurang berkemampuan turut menerima bantuan RM500 seorang daripada LLM, bagi meringankan beban membeli barangan persekolahan anak-anak.