Kementerian Kerja Raya kumpul RM800,000 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Sebanyak RM800,000 berjaya dikutip Kementerian Kerja Raya untuk disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 disumbangkan oleh Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd. (PLUS); RM151,222 daripada para pengguna lebuh raya, Lebuhraya Besraya dan New Pantai Expressway (RM100,000), Jabatan Kerja Raya (RM21,687), Prolintas dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (RM14,050), Kementerian Kerja Raya (RM6,807) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (RM6,234). 

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, kutipan itu membuktikan warganegara Malaysia termasuk para pengguna lebuh raya di negara ini prihatin kepada kesengsaraan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

''Sumbangan daripada syarikat-syarikat konsesi pula membuktikan mereka mempunyai kesedaran dari segi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing,'' katanya semasa berucap pada majlis penyerahan sumbangan itu di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga Penaung Rayuan Dana Atas Nama Kemanusiaan tabung itu. 

Menurut Rosmah, setiap cek sumbangan itu perlu diletakkan di bawah nama Akauntan Negara sebelum ia diserahkan kepada Wisma Putra.

''Dari situ, Wisma Putra akan menyalurkan pula dana itu kepada kerajaan Palestin,'' katanya.

Mengulas perkembangan di Palestin, beliau sedih mendengar penderitaan rakyat di sana yang ada kalanya meninggal dunia di dalam ambulans. 

''Menurut Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang baru pulang dari Palestin, keadaan itu berlaku berikutan kekurangan kemudahan pembedahan dan perubatan di sana.

''Apabila mangsa-mangsa perang Palestin dibawa menaiki ambulans untuk ke hospital lain, mereka disekat oleh askar-askar Israel dan menyebabkan mereka meninggal dunia dalam perjalanan,'' kata Rosmah.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia