CIDB: Syabas sasar 1,800 kontraktor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA SELANGOR - Seramai 1,800 kontraktor menyertai Kursus Keselamatan dan Kesihatan bagi Pekerja Binaan (Kad Hijau CIDB) anjuran Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi tahun ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Abdul Halem Mat Som berkata, pelbagai kurusus termasuk kursus ini diadakan bagi memastikan Syabas mematuhi peraturan keselamatan dan kesihatan.

Menurutnya, pihaknya melalui Jabatan Penyertaan dan Pembangunan Usahawan Bumiputera (PPUB) berperanan dalam mewujudkan budaya keprihatinan terhadap aspek-aspek keselamatan dan kesihatan semasa di tapak binaan.

"Program Kad Hijau merupakan salah satu inisiatif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam mewujudkan dan melaksanakan sistem pengurusan keselamatan di tapak binaan.

"Inisiatif ini bertujuan untuk membolehkan semua pekerja binaan yang menjalankan kerja-kerja pembinaan memiliki Kad Hijau CIDB sebagai prasyarat melindungi keselamatan individu semasa berada di tapak binaan," katanya.

Abdul Halem berkata, pihaknya menguatkuasakan arahan memiliki Kad Hijau CIDB terhadap kontraktor lantikannya selaras dengan peraturan Alam Sekitar dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Alam Sekitar 1974.

"Kad Hijau CIDB amat penting kerana kegagalan melaksanakan program Kad Hijau CIDB akan menyebabkan tindakan tertib dikenakan CIDB di bawah peraturan-peraturan kontraktor (1995) - Peraturan 15(1), Akta LPIPM (520), 1994 di mana pendaftaran kontraktor dibatalkan, digantung atau ditarik balik," katanya.

Menurutnya, Syabas pula akan mengenakan tindakan keras terhadap syarikat kontraktor, perunding dan juru ukur tanah yang bekerja dan didaftarkan di bawah PPUB Syabas seperti pemberhentian kerja atau disenaraihitamkan.

"Selain itu, beberapa kursus lain akan diperkenalkan pada masa akan datang seperti kursus pengurusan syarikat, kursus penyeliaan dan kursus integriti khususnya kepada pemilik dan pengurusan syarikat.

"Syabas melalui Jabatan PPUB amat komited untuk membantu kontraktor yang dilantik terutamanya kontraktor Kelas F untuk menjadi sebuah syarikat berjaya dengan pengurusan yang lebih sistematik," katanya.

Terdahulu, Syabas melalui PPUB yang mula diperkenalkan pada 2008 dan menerima kerjasama daripada Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah telah berjaya menganjurankan sebanyak 6 sesi kursus yang melibatkan 365 peserta daripada 84 syarikat.

Untuk rekod, Kad Hijau merupakan kad pendaftaran yang dikeluarkan oleh CIDB yang menandakan seseorang pekerja binaan tersebut mengikuti kurusus induksi keselamatan dan kesihatan bagi pekerja binaan dan memahami penerangan yang diberikan CIDB
 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian