KUALA LUMPUR: Kerajaan memansuhkan bayaran tol di Plaza Tol PJS2 arah utara di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) berhampiran Kampung Datuk Harun serta-merta, selaras dengan keputusan Kabinet Rabu lalu selepas mengkaji cadangan Kementerian Kerja Raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata walaupun pemansuhan itu sepatutnya berkuat kuasa selepas 12 tengah malam ini, syarikat konsesi NPE, New Pantai Expressway Sdn Bhd bersetuju melaksanakannya lebih awal.
?Kerajaan berpendapat Plaza Tol PJS2 berhampiran Kampung Medan dan Kampung Datuk Harun membebankan penduduk setempat kerana terpaksa membayar RM1.60 setiap kali memasuki Kampung Medan berikutan ketiadaan jalan alternatif.
?Sebelum ini, pengguna lebuh raya terpaksa melalui tanjakan Sungai Way dan membayar tol di Plaza Tol PJS2 (Taman Medan) sebelum membuat pusingan U di Taman Maju Jaya, menyebabkan sebahagian penduduk setempat terpaksa membayar tol dua kali bagi menggunakan laluan ke PJS2.
?Kabinet turut mengambil kira krisis ekonomi semasa dalam membuat keputusan ini untuk meringankan kos sara hidup seharian rakyat,? katanya pada majlis pengumuman pemansuhan kutipan di plaza tol terbabit, semalam.
Difahamkan, kerajaan membayar pampasan sekali gus RM1.85 juta kepada New Pantai Expressway Sdn Bhd kerana bersetuju memansuhkan kutipan di Plaza Tol PJS2 arah Kuala Lumpur itu.
Pada 7 Februari lalu, lebih 50 penduduk setempat mengadakan demonstrasi secara aman meminta kutipan tol di Plaza Tol PJS2 dimansuhkan kerana membebankan penduduk yang terpaksa membayar RM1.60 walaupun jarak kediaman hanya 200 meter dari tol.
Majlis mengumumkan penutupan tol itu semalam kecoh apabila 500 penduduk setempat, termasuk penyokong Umno, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membawa sepanduk serta bendera parti berang berikutan perbuatan sindir menyindir di kalangan mereka.
Mohd Zin yang sedang berucap berjaya menyabarkan mereka dengan menjelaskan tindakan memansuhkan tol itu memanfaatkan semua pihak.