Jalan ditutup beri laluan projek Lekas | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SEREMBAN: Sebahagian jalan di Taman Bukit Sentosa Paroi, dekat sini akan ditutup kepada lalu lintas berikutan kerja pembinaan sebahagian dari Pakej 3 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) bermula 16 Februari ini.

 Ketua pegawai Eksekutif Lekas Sdn Bhd, Neoh Soon Hiong berkata antara jalan yang ditutp ialah Jalan Margosa 1, Margosa 7, Margosa 13 dan sebahagian dari Jalan Persiaran Chengal.

 "Jalan keluar dan masuk antara Taman Bukit Margosa dan Taman Ampangan Fasa 3 akan dilencongkan melalui Jalan Margosa 6 dan Margosa 18. Kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan," katanya menerusi kenyataan di sini.

Neoh berkata pihaknya akan membina sebuah jambatan di Jalan Persiaran Chengal merentasi Lekas untuk menghubungkan Taman Margosa dan Taman Ampangan Fasa 3 ke Paroi serta kawasan sekitarnya. 

"Sebuah terowong juga akan dibina menghubungkan Taman Bukit Margosa dan Taman Telawi," katanya.

 Beliau berkata, apabila siap, lebuh raya itu kelak akan dapat memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Pancor, Paroi, Ampangan, Senawang dan Seremban kerana ia akan menjadi satu laluan alternatif bertol antara Seremban dan Kuala Lumpur.

 Sebarang maklumat lanjut mengenai kerja pembinaan itu boleh didapati dengan menghubungi talian hotline Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu 1 800887752 atau infoline Lekas di talian 1 800888021 atau pejabat 03-87238021 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian