Keputusan mansuh tol NPE Rabu | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SEPANG 8 Feb. - Keputusan sama ada kerajaan bersetuju memansuhkan kutipan tol di Plaza Tol PJS2, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Kuala Lumpur hanya akan diketahui selepas mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, beliau akan membentangkan permintaan penduduk untuk memansuhkan tol terbabit dalam mesyuarat itu untuk persetujuan jemaah menteri.

''Saya tidak boleh membelakangkan Kabinet, semua kena diluluskan melalui Kabinet.

''Jadi saya akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk dibincangkan Rabu ini dan kita tunggu keputusannya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Sepang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Wah Lian, Sungai Pelek di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Yap Ee Wah.

Beliau mengulas desakan penduduk di Petaling Jaya Selatan, semalam yang berdemonstrasi mendesak kutipan tol di Plaza Tol PJS2 di Kampung Medan dimansuhkan kerana ia membebankan lebih 50,000 penduduk sejak dibuka empat tahun lalu.

Penduduk turut mendakwa terpaksa membayar RM1.60 walaupun jarak dari kediaman hanya 200 meter dari tol dan caj itu dianggap tidak munasabah.

Ia menyebabkan penduduk atau orang luar menjadikan laluan di sekitar Taman Medan dan Taman Datuk Harun sebagai jalan pintas, sekali gus menyebabkan kesesakan luar biasa terutama pada waktu puncak.

Lebuh Raya NPE sepanjang 19.5 kilometer yang bernilai RM1.2 bilion dikendalikan syarikat konsesi New Pantai Express Way Sdn. Bhd., mula beroperasi sejak 30 April 2004.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia