ILTIZAM Malaysia ke arah menjadi sektor perkhidmatan awam bertaraf dunia dan kelas pertama direalisasikan dengan pengwujudan Sistem Star Rating (SSR). SSR adalah salah satu mekanisme penarafan prestasi terhadap mutu perkhidmatan awam di Malaysia.
Keputusan SSR Kementerian 2008 telah diumumkan secara rasmi pada 12 Januari 2009 yang lalu dan kemudiannya dimaklumkan kepada barisan Kabinet dalam mesyuarat jemaah Menteri pada 4 Februari 2009. Berdasarkan kepada keputusan yang telah diumumkan, KKR adalah Kementerian pertama dan satu-satunya kementerian yang mendapat pengiktirafan 5 Bintang bagi tahun 2008 manakala sebanyak 11 kementerian mendapat 4 Bintang dan 13 Kementerian lagi memperoleh taraf 3 bintang.
Kejayaan itu disambut dengan rasa gembira dan bangga oleh menteri Kerja Raya, Dato' Ir Mohd Zin Mohamed, yang mengucapkan syabas dan tahniah atas komitmen, penjanaan tugas yang cekap, sistem aturan kerja yang berkesan serta khidmat pelanggan yang memuaskan sehingga membolehkan KKR muncul sebagai satu-satunya Kementerian yang diberi penarafan 5 bintang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan rancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menerusi sistem SSR.
"Penghargaan istimewa saya tujukan kepada pasukan petugas yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian yang cukup komited dalam merealisasikan usaha murni ini.
"Pengiktirafan ini harus membuka laluan bagi seluruh warga KKR mencetuskan dimensi baru agar kualiti khidmat kita lebih proaktif, progresif dan dinamik," katanya.
Beliau berkata, mencapai sesuatu bukanlah sukar namun usaha untuk mengekalkannya menjadi satu cabaran.
"Di atas sebab itu, suka saya sarankan agar taraf 5 bintang ini kita pertahankan pencapaiannya untuk tahun-tahun akan datang," katanya.
Pelaksanaan sistem penarafan ini dijalankan oleh MAMPU sejak 2007. Menerusi SSR, setiap kementerian akan dinilai berdasarkan kriteria berikut:
Pengurusan Organisasi
Pengurusan Kewangan
Pengurusan Sumber Manusia
Pengurusan Projek Pembangunan
Pengurusan ICT
Perkhidmatan Teras
Pengurusan Pelanggan
Sewaktu perjumpaan bersama warga kerja KKR, Ketua Setiausaha KKR, Dato' Sri Dr Abdul Munit Kasmin, berkata setiap aduan diterima perlu diselesaikan berdasarkan piagam pelanggan supaya kepuasan pelanggan sentiasa terjamin dan memastikan penghasilan produk KKR yang berkualiti.
Katanya, sebagai pemilik Jalan Persekutuan yang diwartakan di bawah Menteri Kerja Raya, KKR harus memastikan setiap jalan yang dibina diselenggara dengan sempurna sekurang-kurangnya memenuhi kehendak pusingan kerja seperti yang disenaraikan dalam senarai kerja rutin penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau mahu warga KKR menerima teguran dan pandangan yang diutarakan dalam menambah baik sistem penyampaian dan pengurusan di kementerian ini untuk menjadi 'Kementerian Nombor satu' di Malaysia.
Justeru, tugas yang penting sekarang bagi kakitangan KKR ialah memastikan bagaimana pencapaian diiktiraf sebagai sebuah organisasi bertaraf 5 bintang ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang lebih praktikal.
Selaras usaha menjadi sebuah kementerian yang bertaraf lima bintang, pihak pengurusan Kementerian sebelum ini membuat saranan supaya warga KKR sentiasa menanamkan semangat persaingan yang sihat dalam diri masing-masing agar KKR menjadi satu kementerian yang terbaik di kalangan semua kementerian dalam negara ini.
Semangat ini sudah bermula dengan beberapa inovasi dan pendekatan baru yang diterapkan dalam pengurusan KKR seperti menambah keceriaan kawasan dalam dan luar pejabat, pelaksanaan program Ekspedisi Jalan Persekutuan dan juga penggunaan GIS (Geographical Information system) dalam perancangan dan pemantauan Jalan Persekutuan.
Pada tahun 2008 juga, KKR telah berjaya mencungkil bakat belia Asean dan menaikkan taraf mereka yang berkemahiran melalui Pertandingan Kemahiran Asean Ke7 yang juga dianjurkan oleh KKR selaku Malaysia sebagai tuan rumah berjaya menggondol 6 pingat emas.
Anugerah Kualiti Pengurusan Projek bagi tahun 2008 turut juga dimenangi oleh KKR untuk Projek Pembinaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ? Fasa 1 di Bandar Muadzam Shah, Kota Setar Kedah dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam 2008 yang diadakan pada 27 November 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Ketua Setiausaha KKR Dato' Sri Dr Abdul Munit Kasmin.
Majlis meraikan kementerian Kerja Raya 5 Bintang yang dirasmikan oleh YB Menteri KKR akan diadakan tidak lama lagi