KUALA LUMPUR- Kerajaan meluluskan sebanyak RM70 juta untuk melaksanakan kerja-kerja memperkukuhkan kawasan kediaman di sekitar Bukit Antarabangsa di sini berikutan kejadian tanah runtuh hujung tahun lalu, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed.
Kerja pembaikan dan pemulihan itu akan bermula minggu hadapan, katanya.
Beliau berkata, sebanyak 212 daripada 256 buah rumah di Bukit Antarabangsa yang diberi notis berbahaya untuk diduduki pada 19 Disember lalu akibat tragedi itu kini disytiharkan selamat dan penghuni dibenarkan pulang.
Berdasarkan Lapotan Status Keselamatan, hanya 44 unit rumah iaitu 13 unit rumah dari Taman Bukit Mewah, lapan dari Taman Bukit Jaya serta 23 unit rumah di sepanjang Jalan Wangsa 9, masih belum selamat diduduki katanya, kepada pemberita di sini, semalam.
"Untuk memastikan semua 44 unit rumah yang disebut tadi selamat diduduki, maka kawasan tanah runtuh di situ perlu diperbaiki dengan segera dan kawasan di sekitarnya perlu diperkukuhkan," katanya.
"Kerajaan prihatin dengan masalah serta beban yang ditanggung mangsa tragedi tetapi kami tidakdapat membuat sebarang janji mahupun pengumuman sehingga mendapat kelulusan terhadap permohonan peruntukan yang dikemukakan," katanya
. Menurutnya, berdasarkan gambar-gambar satelit sejak 1968 sehingga berlakunya kejadian tanah runtuh pada 6 Disember tahun lalu dapat dirumuskan bahawa cerun yang terlibat adalah cerun buatan manusia yang mula dibina semasa pembangunan kawasan perumahan Taman Bukit Mewah pada 1975 hingga 1985.
"Kontur asal kawasan itu telah diubah berikutan kerja mengorek dan kambus" katanya. Beliau berkata, tanggungjawab untuk memulihkan kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa itu terletak kepada pemaju atau pemilik tanah yang telah gagal mematuhi spesifikasi pembangunan cerun bukit.