RM70 juta dilulus baiki tanah runtuh | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Kabinet percepat kerja pulih Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM70 juta untuk kerja pembaikan dan pengukuhan kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menggunakan kaedah kejuruteraan terkini. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata kerja pemulihan dijalankan seawal minggu depan selepas kementerian selesai melantik tiga hingga empat kontraktor untuk melaksanakannya. 

 

Katanya, kerja pemulihan yang menggunakan pelbagai kaedah, seperti hand dug caisson dan soil nail micropile membabitkan kawasan runtuhan yang meranapkan 14 banglo serta 44 kediaman yang diisytiharkan berisiko untuk didiami. 

Katanya, 44 daripada 256 pemilik rumah yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh pada 6 Disember lalu perlu menunggu enam bulan lagi sehingga kerja pemulihan dan pengukuhan selesai dijalankan. 

Daripada jumlah itu, 13 unit di Taman Bukit Mewah, Taman Bukit Jaya (lapan unit) dan 23 unit di sepanjang Jalan Wangsa 9. 

"Baki 212 pemilik pula dibenarkan pulang ke rumah mereka tanpa perlu menunggu notis daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). 

"Bagaimanapun kementerian akan menghantar notis kebenaran menduduki kediaman kepada MPAJ esok (hari ini) untuk diserahkan kepada pemilik rumah," katanya pada sidang media di Kementerian Kerjaraya di sini, semalam. 

Terdahulu media diberi taklimat mengenai tanah runtuh di Bukit Antarabangsa oleh Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya, Datuk Dr Ashaari Mohamad. 

Dalam kejadian awal pagi 6 Disember lalu itu, empat terkorban, manakala 14 banglo musnah. 

Kejadian itu juga menyebabkan 93 keluarga di kawasan bertanda merah antaranya Kondominium Impian Selatan, Blok B1, Jalan BJ 6A Taman Bukit Jaya dan Jalan Wangsa 11 tidak dibenarkan pulang sehingga laporan status kediaman mereka diperoleh. 

Mengulas rasa tidak puas hati mangsa berikutan kelewatan tindakan kerajaan, Mohd Zin berkata, kerajaan prihatin dengan masalah penduduk dan beban ditanggung mangsa, tetapi pengumuman tidak boleh dibuat sehingga kelulusan permohonan dibuat. 

Beliau berkata, bagi memastikan kawasan runtuhan dan sekitarnya selamat untuk diduduki, kerja pembaikan dan pengukuhan kawasan keseluruhan dijangka mengambil masa dua tahun. 

"Tanggungjawab memulihkan kawasan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa terletak pada pemaju atau pemilik tanah yang gagal mematuhi spesifikasi pembangunan cerun bukit dan pihak berkuasa termasuk MPAJ dan kerajaan Selangor. 

"Bagaimanapun, kerajaan sedar jika menunggu pihak yang bertanggungjawab itu mengeluarkan belanja, ia sudah mengambil masa lama. 

"Kementerian akan membuat tuntutan balik bagi perbelanjaan pembaikan dan pengukuhan daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu," katanya. 

 

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian