Hanya 15 minit ke Putrajaya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

SUBANG JAYA 19 Feb. - Orang ramai terutama penduduk Putra Heights kini boleh menjimatkan masa selama 15 minit untuk ke Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pembukaan persimpangan Putra Heights mulai hari ini.

Persimpangan berharga RM65 juta yang dibiayai sepenuhnya Sime Darby Property Berhad itu juga bakal memudahkan laluan keluar masuk dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Elite.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pembukaan persimpangan itu akan meningkatkan lagi nilai hartanah di Putra Heights dan akan menjadi antara kawasan tumpuan terbaru di Lembah Klang.

''Penempatan Putra Heights cukup strategik kerana terletak di antara Putrajaya, Cyberjaya dan Subang Jaya dan pembukaan persimpangan ini ternyata menjimatkan lagi masa penduduk Putra Heights untuk ke destinasi tertentu.

''Rancangan perbandaran di sini juga semakin rancak kerana apabila disiapkan sepenuhnya pada 2016, bilangan penduduk dijangka mencecah 60,000 orang berbanding 28,000 ketika ini,'' katanya sebelum merasmikan pembukaan persimpangan Putra Heights.

Tambahnya, pembukaan plaza tol sebanyak 16 lorong dan kemudahan prasarana yang lain oleh Sime Darby menunjukkan komitmen syarikat itu sebagai pemaju hartanah yang bertanggungjawab.

''Saya harap lebih banyak lagi pemaju hartanah, syarikat-syarikat besar dan sederhana turut melakukan inisiatif meneladani usaha yang telah diambil oleh Sime Darby Property,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Property Berhad, Datuk Tunku Putra Badlishah Tunku Annuar berkata, persimpangan Putra Heights merupakan yang kedua dibina dan dibiayai oleh syarikatnya selepas persimpangan 'trumpet' di laluan LDP.

''Masa depan kawasan perbandaran di sini akan menyamai kejayaan di Subang Jaya dan USJ Subang,'' jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu, Pengerusi Komiti Penyeliaan Bahagian Hartanah Sime Darby Bhd., Datuk Mohamed Sulaiman dan Pengarah Urusan PLUS Expressway, Noorizah Abd. Hamid.

Plaza tol berkenaan mula dibuka pada pukul 6 petang ini.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia