Kerajaan bayar RM2.35 bilion pampasan tol | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 18 Feb - Kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM 2.35 bilion kepada syarikat konsesi lebuh raya di negara ini bagi tempoh empat tahun dari 2004 hingga 2007.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pampasan itu dibayar kepada tujuh syarikat konsesi berikutan wujud penangguhan dan penstrukturan semula kadar tol.

"Sebanyak RM552 juta adalah dalam bentuk pampasan tunai dan RM 1.8 bilion dalam bentuk pampasan bukan tunai.

"Jumlah pampasan bagi tahun 2008 pula belum diaudit oleh juruaudit syarikat konsesi, jadi ia masih beluh boleh dimuktamadkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 12 syarikat konsesi telah mencatatkan keuntungan manakala 10 buah lagi mengalami kerugian.

Sementara itu, pada sesi soal jawab Dewan hari ini, Mohd Zin berkata, perjanjian konsesi tidah mensyaratkan 25 peratus kutipan tol perlu diperuntukkan bagi menyenggara lebuh raya.

Bagaimanapun, katanya, kerajan mempunyi kuasa mengeluarkan notis kepada syarikat terbabit untuk mengguna pakai bon penyenggaraan yang telah diwujudkan sekiranya mereka gagal mematuhi obligasi menyenggara lebuh raya.

"Kerajaan berhak memantau semua syarikat bagi memastikan mereka melaksanakan kerja penyengaraan lebuh raya seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

"Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melakukan pemantauan secara berkala bagai memastikan kualiti lebuh raya kita memenuhi piawaian ditetapkan," katanya menjawab soalan Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu pahat).

Mohd Puad ingin tahu adakah pemegang konsesi lebuh raya mematuhi syarat peruntukan 25 peratus daripada kutipan tol untuk tujuan penyelenggaraan dan sama ada kerajaan berhak memantau cara mereka membelanjakan pendapatan daripada kutipan tol.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia