Seksa tol enam tahun kini berakhir | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PETALING JAYA - Penantian selama enam tahun lebih 30,000 penduduk Kampung Medan dan Kampung Datuk Harun yang menuntut kerajaan memansuhkan kutipan Plaza Tol PJS 2 Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berakhir.

Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed mengumumkan pemansuhan bayaran tol itu bermula secara rasmi pada hari ini.

"Pemansuhan bermula esok (hari ini) dan rasminya pemansuhan bayar tol bermula 12.01 tengah malam ini," katanya dalam ucapan aluan majlis pemansuhan kutipan tol Plaza Tol PJS 2 arah Kuala Lumpur di sini semalam.

Menurut Mohd Zin, dengan pemansuhan bayaran tol itu, pengguna NPE terutamanya penduduk Kampong Medan dan Kampong Datuk Harun yang terpaksa membayar tol sebanyak RM1.60 setiap kali melaluinya berulang-alik dari rumah menghala ke Kuala Lumpur sejak April 2004 kini tidak perlu lagi berbuat demikian.

"Pemansuhan ini dapat, memberi faedah kepada penduduk di sekitar kawasan ini secara langsung hasil daripada keputusan kerajaan ini," katanya kepada lebih 500 penduduk dan yang hadir pada majlis pemansuhan itu.

Turut hadir pada majlis pemansuhan itu ialah, Pengurusi Lebuhraya Pantai Baru Sdn. Bhd. Datuk Mohd Ali Abd. Samad, Ketua pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohamad Razali Othman.

Sebelum ini, kutipan bayaran tol di situ mendapat bantahan penduduk kerana terpaksa membayar tol setiap kali keluar ke Kuala Lumpur.

Ekoran daripada rasa tidak puas hati itu, penduduk menghantar memorendam bantahan kepada kerajaan dan selepas ia dibincangkan, pemansuhan kutipan tol di plaza tol PJS 2 arah utara dibatalkan untuk kepentingan pengguna.

Sementara itu, seorang penduduk, Malik Arshad, 45, pula berkata, selepas tiga kali membuat bantahan akhirnya kutipan dimansuhkan.

"Kami tidak menolak kemungkinan akan membantah kutipan tol sebelah selatan pula, kerana kami memang tidak setuju dari awal ada kutipan tol di sini," katanya di sini semalam.

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo