Pampasan RM287j | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Pampasan RM287j 

 

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Kerajaan akan membayar pampasan berjumlah RM287 juta kepada lima syarikat konsesi lebuh raya berikutan kerajaan hari ini menangguhkan kenaikan kadar tol yang diumumkan semalam. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pagi tadi selepas mengambil kira reaksi rakyat yang tidak bersetuju apabila kenaikan kadar tol diumumkan.

Beliau menjelaskan, wang pampasan tersebut perlu dibuat ekoran pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya itu menandatangani perjanjian konsesi bagi kenaikan kadar tol dari 1 Januari lalu hingga hujung tahun ini. 

Menurutnya, daripada jumlah itu Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan menerima RM195 juta, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) (RM36 juta), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) (RM27 juta), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) (RM9 juta) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE)(RM20 juta).

"Wang pampasan ini merupakan sebahagian daripada wang rakyat yang sebenarnya bertujuan melaksanakan pembangunan yang dapat memberi faedah kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Kementerian Kerja Raya di sini hari ini. 

Semalam, Mohd. Zin mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mahu keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zin ditanya mengenai penyelesaian aliran trafik di lebuh raya akibat wujudnya tol berkata, ia harus dibincangkan dengan syarikat pengangkutan awam. 

Menurutnya, kementerian hanya bertanggungjawab dalam urusan infrastruktur jalan raya dan jambatan.

"Kita boleh selesaikan isu ini jika syarikat pengangkutan awam lebih efisien dengan memperbanyakkan lagi stesen mengambil penumpang dalam usaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian," katanya. 

Beliau memberitahu, isu aliran trafik di lebuh raya sukar ditangani kerana di sekitar Lembah Klang saja terdapat 3.5 juta kenderaan sehari.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia