Kadar tol 5 lebuh raya naik | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Kadar tol di lima lebuh raya akan mengalami kenaikan antara lima hingga 34 peratus mulai 1 Mac ini. 

Lebuh raya terlibat ialah Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed (gambar) berkata, bagi Lebuh Raya PLUS, kadar tol akan dinaikkan sebanyak 0.68 sen bagi setiap kilometer menjadikan kadar terbaru 14.2 sen untuk satu kilometer.

''Namun kenaikan itu tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar,'' katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kerja Raya di sini hari ini.

Bagi Lebuh Raya Sprint katanya, kadar tol dinaikkan antara 30 sen dan 50 sen sementara Lebuh Raya AKLEH pula mengalami kenaikan sebanyak 50 sen.

Tambahnya, Lebuh Raya Besraya mengalami penambahan sebanyak 10 sen manakala Lebuh Raya NPE akan dinaikkan sebanyak 40 sen.

Beliau menjelaskan kenaikan kadar tol di tiga lebuh raya iaitu PLUS, Sprint dan AKLEH tidak dapat dielakkan.

Jelasnya, berdasarkan perjanjian konsesi antara kerajaan dan pemegang konsesi sepatutnya kadar itu telah dinaikkan pada 1 Januari 2008.

''Akibat ditangguhkan sehingga 28 Februari ini, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta iaitu RM177 juta kepada PLUS, RM38 juta kepada Sprint dan RM30 juta lagi kepada AKLEH,'' ujarnya.

Tambahnya, kenaikan kadar tol di Lebuh raya Sprint, AKLEH dan NPE adalah minimum kerana ia tidak pernah dinaikkan sejak mula beroperasi.

Dalam masa yang sama, beliau memberitahu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif jika tidak mahu membayar sebarang tol.

''Kerajaan telah membelanjakan peruntukan besar untuk menaiktaraf jalan persekutuan daripada dua kepada empat lorong iaitu dua lorong bagi setiap arah bertentangan demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

''Ia sejajar dengan konsep 'user pay' di mana pengguna diberi pilihan untuk menggunakan jalan alternatif sedia ada atau jalan bertol,'' jelasnya.

Dengan pengumuman kerajaan itu, mulai 1 Mac ini, kadar tol baru Lebuh Raya SPRINT bagi Plaza Tol Pantai adalah RM2 sementara Plaza Tol Damansara pula sebanyak RM1.30 iaitu penambahan 30 sen daripada kadar semasa.

Bagi Lebuh raya AKLEH, kadar tol baru adalah RM2 di Plaza Tol Keramat manakala Plaza Tol Mines sebanyak RM1.40 bagi Lebuh Raya Besraya.

Kadar tol Plaza Tol Pantai, PJS 2 (arah Subang Jaya) dn PJS 5 pula RM2.

Tarikh
Surat Khabar
New Straits Times