KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerja-kerja pembinaan Duta Link, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) berhampiran lintasan kereta api di Sentul telah mendapat kelulusan dan kebenaran bertulis daripada pihak-pihak yang berkenaan.
Syarikat konsesi lebuh raya itu, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn. Bhd. (Kesturi) menjelaskan, kebenaran itu adalah daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Selain itu, Kesturi juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kerja-kerja pembinaan DUKE dijalankan pada masa yang ditetapkan oleh LLM dan KTMB.
"Kesturi menyedari rungutan penduduk dan kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa dan juga penduduk untuk mencari penyelesaian secara baik terhadap isu yang diutarakan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesturi membuat penjelasan itu bagi mengulas isu yang ditimbulkan oleh penduduk di Jalan Khalsa mengenai pembinaan Duta Link yang didakwa dilakukan tanpa kebenaran LLM dan KTMB.
Menurut Kesturi, dalam pertemuan dengan pihak berkuasa berkenaan, tidak terdapat sebarang perubahan terhadap waktu kerja pembinaan Duta Link dan ia akan berkuat kuasa sehingga hujung bulan ini.
Namun, kata kenyataan itu, Kesturi sedang meneliti beberapa pilihan untuk mengurangkan ketidakselesaan dan kesulitan yang dialami oleh penduduk-penduduk di sepanjang tempoh itu.
"Kesturi juga sedia berbincang mengenai langkah-langkah seperti melakukan penyesuaian sementara atau memberikan pampasan kepada penduduk-penduduk yang terjejas.
"Kami memohon kerjasama penduduk yang terjejas untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap isu ini supaya lebuh raya itu dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan," kata kenyataan itu.
Mengenai isu banjir yang melanda Jalan Ipoh pada 3 Mac lalu, Kesturi menegaskan bahawa kerja-kerja pembinaan di situ bukan sebagai punca berlakunya bencana itu.
Menurut Kesturi, kerja-kerja pembinaan DUKE yang sedang dilakukan sekarang melibatkan kerja-kerja struktur dan tidak melibatkan kerja tanah, oleh itu ia tidak menjadi penyebab kepada berlakunya banjir.
"Tambahan pula, hujan pada 3 Mac lalu adalah pada kadar luar biasa, menyebabkan aliran Sungai Batu melimpah dan menyebabkan banjir kilat di sekitar Jalan Ipoh.
"Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat, Kesturi telah membersihkan semua longkang di sekitar kawasan berkenaan dan akan mengadakan pertemuan dengan penduduk-penduduk Jalan Khalsa untuk menerangkan mengenai situasi berkenaan," jelas kenyataan itu.