Plaza Tol Duta atasi sesak MRR2 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 13 Mac - Pembukaan Plaza Tol Duta di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada bulan Mei ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya di sekitar Ampang.

Pengarah Projek Konsortium Lebuh Raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (Kesturi), Chua Soo Kok berkata, ini kerana lebih 40,000 pengguna dari MRR2 dijangka menggunakan plaza tol berkenaan.

Katanya, pembukaan laluan ke plaza tol itu sepanjang lima kilometer juga akan melengkapkan sistem lingkaran lebuh raya sedia ada dengan menghubungkan laluan trafik dari ibu kota ke pelbagai kawasan pinggir bandar.

"Pengguna yang menggunakan DUKE melalui Plaza Tol Duta bakal menikmati perjalanan yang lebih pendek dan masa yang lebih singkat untuk ke Jalan Duta, Sri Hartamas, Mont Kiara, Damansara dan Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) tanpa perlu mengharungi kesesakan di ibu kota terutamanya di Jalan Tun Razak.

"Dengan bayaran tol sebanyak RM2 untuk satu perjalanan dan hanya mengambil masa sembilan minit, laluan tersebut pasti memberi lebih keselesaan kepada pengguna terutamanya pada waktu puncak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengadakan sesi penerangan di pejabatnya di Jalan Perak di sini hari ini.

Tambah Soo Kok, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan laluan berkenaan, pihaknya akan mengadakan promosi besar-besaran serta kempen secara berterusan melalui media cetak dan elektronik.

Terbaru, selama tiga bulan bermula esok, pihak Kesturi akan mengadakan kempen dinamakan Roadshow Cruiser dan Roadshow Flea Market bagi mempromosikan lebuh raya berkenaan kepada orang ramai.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga merancang untuk mengadakan larian Dukekathon yang bakal melibatkan penyertaan orang awam semasa pembukaan plaza tol itu nanti.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan tentang rungutan pengguna yang mendakwa pembukaan DUKE menyebabkan kesesakan di MRR2.

Bagaimanapun, Soo Kok menyangkal dakwaan berkenaan memandangkan hampir sebahagian kesesakan dari arah Sentul, Semarak dan Air Jernih telah berkurangan kerana pengguna telah beralih arah dengan menggunakan DUKE untuk ke Hulu Klang.

Beliau percaya pembukaan Plaza Tol Duta bakal mengurangkan lagi kesesakan yang berlaku di MRR2 yang berlaku ketika ini.

"DUKE memberikan alternatif kepada pengguna untuk mengelakkan kesesakan yang berlaku di jalan-jalan utama dengan menyediakan tujuh persimpangan dan lima jalan susur keluar dan masuk.

"Tambahan pula, 46 peratus daripada perjalanan tersebut adalah bebas tol.

"Selain itu, dengan melalui Plaza Tol Duta, pengguna akan dapat mengurangkan kos petrol dengan agak banyak," katanya.

Mengikut pengiraan kasar, bagi setiap minit perjalanan, petrol bernilai 12 sen akan digunakan dan sekiranya 35 minit diambil dengan melalui MRR2, jumlahnya telah melebihi bayaran tol yang dikenakan," jelasnya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia