Tiga lokasi kritikal tanah runtuh | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Seremban - Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti tiga lokasi kritikal yang diancam tanah runtuh di Jalan Bukit Putus - Kuala Pilah dengan kerja-kerja mengukuhkan cerun akan dijalankan selepas musim hujan sekarang berakhir.

Pengarahnya, Dr. Ir. Roslan Md. Taha memberitahu, tiga lokasi paling kritikal ialah di Kilometer (Km) 14, Km14.7 dan Km15.3 di jalan tersebut.

"Untuk kerja pembaikan ini, kami mencadangkan pembinaan tembok penghadang dengan pemasangan besi cerucuk.

"Sebaik saja mendapat kelulusan, kerja pembaikan ini akan siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan. Ia perlu dilakukan demi keselamatan orang ramai," katanya di sini semalam.

Kosmo! Kelmarin melaporkan hujan lebat menyebabkan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan berkenaan serta di tujuh lokasi lain di sekitar daerah ini.

Ia menyebabkan laluan yang menghubungkan Seremban degan Kuala Pilah itu ditutup kepada semua kenderaan berat melainkan bas berhenti-henti dan bas ekspress sehingga kerja pembaikan siap sepenuhnya.

"Turut ditutup bagi semua kenderaan ialah Jalan Kampung Batu, Rembau-Miku, Johol untuk kerja pembersihan dan pembaikan. Semua pemandu dinasihat menggunakan Jalan Tampin-Seremban sehingga kerja pembaikan dan pembersihan siap sepenuhnya," katanya.

JKR juga menempatkan beberapa kakitangan dan jentera di kawasan tanah runtuh sebagai langkah berjaga-jaga.   

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo