E-Tender kurangkan birokrasi kontraktor | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

CHAN SOW LIN - Kementerian Kerja Raya melancarkan Sistem Pengurusan Tender Secara Elektronik (E-Tender) dalam usaha mempermudah pengurusan tender projek dibawahnya terutamanya dalam usaha mengurangkan birokrasi. 

Menterinya, Datuk Sri Ir. Mohd Zain berkata, pelancaran berkenaan adalah salah satu daripada inisiatif membangunkan pengurusan berkenaan selaras dengan saranan yang digariskan melalui Construction Industry Master Plan (CIMP) 2006-2015, melalui Teras Strategik ke 6. 

"Pelaksanaan pengurusan ini mampu mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian maklumat serta memastikan proses perolehan tender dijalankan dengan lebih telus dan berintegriti. 

"Sistem ini juga dapat membudayakan penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dalam kalangan semua pihak yang terlibat dalam sektor pembinaan negara terutamanya pihak kontraktor," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Pengurusan E-Tender dan Penyerahan Sijil Penglibatan Kontraktor Kelas F Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini semalam. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Datuk Nasir Mat Dam; Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Datuk Ir. Jamilus Hussein; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Prof. Ir Dr. Junid Abd. Karim; dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Samad. 

Mohd Zain berkata, sistem berkenaan menggunakan dua kaedah iaitu secara dalam talian 'online' dan CD ROM yang memberikan pilihan kepada kontraktor berdasarkan kepada kesesuaian mereka. 

"Sehingga Mac 2009 bilangan projek yang di tender dengan menggunakan E-Tender sebanyak tiga projek dan CD ROM lebih daripada 500 projek. Kaedah perolehan secara 'online' mula diperkenalkan dan diguna pakai mulai Jun 2008 manakala CD ROM pula sejak 2001. 

"Proses pelaksanaan pengurusan ini dijalankan secara empat fasa utama iaitu yang pertama, proses pengiklanan tender secara 'online' di mana setiap tender diiklankan di www.etender.com.my, di samping akhbar utama," katanya. 

Menurutnya, sebahagian daripada perancangan E-Tender adalah untuk membangunkan 'National Construction Procurement Repository' (CPR) yang mana apabila siap, maklumat yang terdapat di dalamnya dapat digunakan untuk tujuan tertentu.  

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian