Sistem tender secara elektronik diperkenal | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menjadi kementerian pertama memperkenalkan sistem Pengurusan Tender Secara Elektronik atau E-Tender bagi mempermudah proses membida tender projek di bawah kementerian itu bagi mengelak penipuan dan penjualan borang. 

Menterinya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, berkata melalui E-Tender, iaitu sistem dalam talian menerusi http://www.etender.com.my, pembida tidak perlu ke pejabat kementerian untuk mendapatkan borang atau melihat projek yang ditender, sebaliknya dibuat secara talian. 

Sistem yang diluluskan oleh mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini membolehkan pembida mendapatkan maklumat lengkap berkaitan projek, dokumen tender, spesifikasi piawaian sehinggalah senarai lukisan sebelum muat turun borang tender dengan dikenakan bayaran wang pos minimum RM50, bergantung kepada nilai projek. 

"Sistem ini bukan saja memudahkan orang ramai, malah memberikan mereka lebih banyak pilihan untuk melihat projek yang ada serta peluang menyertai tender tanpa melalui banyak proses," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Setuju Tender Projek dan Cabutan Kerja Undi Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam. 

Mohd Zin berkata, pelaksana E-Tender akan dapat mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian maklumat serta memastikan proses perolehan tender dijalankan dengan lebih telus dan integriti. 

"Saya yakin proses tender ini akan lebih telus dan boleh mengelak penipuan, 

termasuk penjualan borang tender atau kegiatan ejen jualan, selain mengurangkan kos penyediaan dokumen tender," katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, hanya 17,000 daripada 40,000 kontraktor kelas F di negara ini masih aktif dan mendapat faedah daripada bantuan kerajaan. 

Katanya, bagi membantu lebih banyak kontraktor kelas berkenaan mendapat tawaran projek, kerajaan sudah mengambil inisiatif mewajibkan 10 peratus daripada nilai kontrak yang bernilai RM10 juta ke atas diagihkan kepada kontraktor kelas itu. 

"Sehingga 28 Februari ini, sebanyak RM8.6 bilion sudah diluluskan membabitkan 189 kontraktor utama. Daripada jumlah itu, 4,373 kontraktor kelas F sudah mendapat faedah tawaran projek daripada kontraktor utama," katanya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian