KUALA LUMPUR-Kerajaan memutuskan menerima pakai teknik pembinaan Sistem Binaan Industri (IBS) dengan mewajibkan penggunaannya sehingga 70 peratus dalam semua projek kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi berkata, sehingga penghujung Februari lalu,320 projek kerajaan yang menelan belanja RM9.43 bilion boleh dilaksanakan menggunakan teknologi IBS.
"Sewaktu dilancarkan, objektifnya adalah untuk memperbaiki industri pembinaan negara dari meningkatkan produktiviti dan kualiti selain mengurangkan penggantungan ke atas pekerja asing," katanya.
Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, sempena Perasmian Konvensyen IBS Kebangsaan, di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini, semalam.
Abdullah berkata, adalah penting sektor swasta memenuhi keperluan ini, kerana sebarang kelewatan akan mengakibatkan tunggakan kepada pelaksanaan projek kerajaan.
Beliau berkata, kejayaan program IBS adalah pengurusan permintaan dan penawaran pasaran yang bijaksana, oleh itu agensi berkaitan seharusnya berusaha keras mencapai objektif ini.
"Bagi menjayakan usaha ini penggiat industri pembinaan perlu lebih berdisplin dengan menolak penggunaan pekerja asing yang tidak mahir dan murah. Ini boleh menggalakkan kaedah pembinaan berteknologi melalui IBS.
"Ia memberikan kelebihan daya saing dalam pasaran luar negara. Kini ,kita berkongsi kepakaran dan kemahiran dengan 46 negara yang memberikan kepercayaan ialah India, Timur Tengah, negara Asian dan China yang melibatkan 103 kontraktor dengan nilai lebih RM90 bilion," katanya.
Abdullah berkata, untuk menarik lebih ramai rakyat negara ini merebut peluang pekerja dalam sektor pembinaan, industri itu harus menjadi lebih professional, mengubah cara dan lumrah pekerjaan supaya tidak dibelenggu persepsi pekerjaan 3D atau 'dirty (kotor), dangerous (berbahaya) dan demeaning' (bertaraf rendah)