PESERTA industri pembinaan di negara ini perlu lebih inovatif dan kompetitif dengan antara lain menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan merebut peluang pekerjaan dalam industri itu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, peserta industri itu juga perlu lebih profesional dengan perubahan cara dan gaya pekerjaannya supaya tidak dibelenggu persepsi pekerjaan '3D', iaitu Dirty (kotor), Dangerous (berbahaya) dan Demeaning (bertaraf Rendah)," katanya.
Beliau menyaran peserta industri itu, khususnya kontraktor Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merebut peluang dan menerima pakai kaedah pembinaan baru yang ditawarkan IBS.
"Penggunaan IBS bukan saja mampu meningkatkan produktiviti dalam sektor pembinaan malah, ia juga membantu negara mengurangkan pergantungan pekerja asing.
"Justeru, kerajaan tahun lalu mengeluarkan Surat Pekeliling mewajibkan penggunaan 70 peratus kandungan IBS dalam semua projek kerajaan," katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen IBS Kebangsaan di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kuala Lumpur, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Dr Abdul Munit Kasmin dan Pengerusi CIDB, Tan Sri Ir Jamilus Hussein.
Abdullah berkata, sehingga 28 Februari lalu, ada 320 projek kerajaan di seluruh negara bernilai RM9.43 bilion yang berpotensi dilaksanakan melalui penggunaan teknologi IBS.
"Saya menjangkakan industri pembinaan akan mula menikmati faedah daripada pelaksanaan IBS ini dalam jangka masa terdekat," katanya.
Kerajaan pada 2003 memperkenalkan Pelan Hala Tuju IBS 2003-2010 yang membabitkan penggunaan komponen binaan siap dan dibawa ke tapak binaan untuk dipasangkan.
Sementara itu, Mohd Zin pada sidang media selepas majlis itu berkata, kerajaan mensasar mengurangkan lebih 50 peratus atau 160,000 pekerja asing kurang mahir dalam sektor pembinaan dengan pelaksanaan 100 peratus IBS menjelang 2010.
Ketika ini ada 320,000 pekerja asing berdaftar dalam sektor binaan, mewakili 15.6 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja asing di negara ini yang berjumlah 2.05 juta.
"Sektor pembinaan kini sedang dalam proses peralihan dan menjelang 2010, amalan IBS sepatutnya jadi 100 peratus.
"Justeru, kami menjangka dapat mengurangkan minimum 50 peratus pekerja asing," katanya.
Mohd Zin pula menegaskan, pekerja asing perlu dikurangkan bagi mengelak kebocoran pelaksanaan pakej rangsangan khususnya dari segi pengaliran keluar wang.