DENGKIL: Peniaga di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) lebuh raya yang 'mengalibabakan' lesen perniagaan kepada warga asing akan ditarik balik serta-merta, dalam usaha memastikan kawasan terbabit dikendalikan rakyat tempatan terutama masyarakat sekitar.

Tindakan sama juga akan dikenakan terhadap peniaga yang mengaji pekerja asing bagi memastikan pengendalian makanan dan minuman dilakukan mengikut piawaian ditetapkan menerusi kursus penilaian yang diwajibkan ke atas semua peniaga di kawasan R&R.

Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed berkata beliau sudah memberi arahan kepada semua konsesi lebuh raya supaya menarik balik lesen perniagaan mereka bagi memastikan peniaga tempatan tidak terpinggir, selain memastikan tahap keselamatan dan kesihatan makanan yang disediakan.

"Kementerian memandang serius perkara ini berikutan peluang pekerjaan ini dicipta untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat terbabit dalam aktiviti perniagaan, sekali gus memperbaiki tahap sosio ekonomi masing-masing.

"Jangan nanti rakyat tempatan tidak diberi peluang (bekerja) tetapi warga asing seperti dari Bangladesh, Indonesia dan sebagainya dapat meniaga, saya harap perkara ini tidak berlaku," katanya pada sidang media selepas melancarkan wajah baru R&R Dengkil (Arah Utara) dan Sumbangan Kad Loyalti PLUSmiles kepada Orang Kurang Upaya (OKU) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Nasir Mat Dam; Pengerusi Plus Expressways Berhad (Plus), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengerusi Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Syed Jamal Syed Jaafar Shahabudin, Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohamad Razali Othman dan Pengarah Urusan Plus, Noorizah Abd Hamid.