Rayu sediakan lampu jalan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

BATANG KALI 7 Jun - Masalah kemalangan jalan raya yang kerap berlaku terutama pada waktu malam di jalan utama dari persimpangan Jalan Sungai Buaya ke Bukit Sentosa di sini yang disebabkan ketiadaan lampu jalan diharap diatasi segera.

Penduduk di kawasan perumahan berhampiran yang juga pengguna jalan berkenaan berkata, pihak berkenaan perlu menyegerakan penyediaan lampu jalan di kawasan itu bagi mengelak lebih banyak nyawa melayang kerana jalan sepanjang kira-kira tiga kilometer itu begitu gelap pada waktu malam.

Salah seorang penduduk, Rohani Isa, 45, mendakwa sesiapa yang kerap menggunakan jalan berkenaan sentiasa bimbang dengan keselamatan, terutama penunggang motosikal.

Katanya, keadaan jalan itu membahayakan keselamatan kerana pengguna perlu berhati-hati supaya tidak terlibat dalam kemalangan.

"Kami sentiasa berasa bimbang terutama pada waktu malam. Jalan ini bukan sahaja dilalui kenderaan biasa tetapi juga kenderaan berat seperti lori dan bas," ujarnya yang sudah menetap hampir lapan tahun di kawasan perumahan berhampiran.

Bagi Nur Hanis Nor Azalan, 18, keadaan jalan itu yang mempunyai selekoh tajam menambahkan lagi bahaya yang menanti pengguna.

Katanya, jika benar Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab menyediakan kemudahan itu, harapannya agar masalah tersebut dapat segera diatasi.

"Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini terus berlaku," ujarnya.

Pendapat Nur Hanis dipersetujui Logeswaran Arumugan, 16, seorang pelajar tingkatan empat.

Katanya, menikmati kemudahan lampu jalan adalah hak rakyat dan seharusnya kerajaan menimbangkan permohonan tersebut demi keselesaan penduduk.

Seorang pesara kerajaan, Mohd. Taib Baba, 55, berpandangan sudah tiba masanya lampu disediakan di sepanjang jalan utama berkenaan.

Katanya, ini kerana semakin ramai yang menggunakan laluan tersebut sehingga menyebabkan ia sentiasa sesak terutama pada waktu puncak.

"Sebagai pengguna jalan utama berkenaan, saya sentiasa bimbang dengan keselamatan, terutama ketika melaluinya pada malam hari," ujarnya.
 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia