'Struktur tanah di cerun longgar' | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Laporan kajian siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa mendedahkan banyak kerja pembersihan tanah bagi membolehkan projek pembangunan pesat dilakukan di sekitar kawasan itu sejak 1968 hingga kejadian itu berlaku pada 6 Disember 2008. 

Berdasarkan gambar dari udara yang disediakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) jelas menunjukkan projek pembangunan giat dijalankan di kawasan berkenaan termasuk projek perumahan Wangsa Ukay pada 1985

Kebanyakan projek pembangunan di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa itu dijalankan di kawasan cerun bukit serta terdapat banyak aktiviti pembuangan tanah peroi di sekitar lokasi tanah runtuh, dan keadaan ini membuktikan tanah di situ adalah longgar. 

Bagi tempoh 1974 dan 1975, kerja pembersihan tanah giat dilakukan di puncak Bukit Antarabangsa dan keadaan berterusan pada tahun berikutnya. 

Pada 1981, banyak pemotongan bukit dilakukan sehingga menyebabkan cerun terhasil dan ketika itu, satu kejadian tanah runtuh berlaku berhampiran kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, selain beberapa kejadian hakisan tanah di sepanjang laluan jalan yang baru dibina di situ. 

Pembangunan bertambah giat dilakukan pada 1989 dan beberapa kejadian hakisan turut berlaku dan pada 1997. 

Kawasan yang sebelum ini menjadi tebing sungai bagi Sungai Seriang berdekatan Taman Bukit Mewah turut digantikan menjadi longkang besar berdinding konkrit. 

Laporan itu turut mendedahkan kawasan puncak itu membentuk lurah kecil akibat hakisan tanah. 

Walaupun punca utama kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan lima kematian dan 14 banglo musnah pada 6 Disember 2008 disebabkan kebocoran paip air dari saluran paip yang aktif di sepanjang jajaran rumah terbengkalai di situ, tetapi asas kejadian itu disebabkan projek pembangunan tidak terkawal yang diadakan di kawasan cerun bukit berkenaan. 


 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian