TAMPIN: Kajian sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang dikenali sebagai sistem tol gantri yang dijalankan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di beberapa lebuh raya di Lembah Klang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata kementeriannya kemudian akan mengemukakan cadangan ini kepada Kabinet untuk dipertimbangkan.
“Berbanding sistem sedia ada, melalui MLFF kesesakan teruk di plaza tol pada waktu puncak dapat dikurangkan kerana kenderaan mampu melaluinya tanpa perlu memberhentikan kenderaan,†katanya selepas merasmikan program Sepakat BESTARI Daerah Tampin anjuran Jabatan Penerangan di perkarangan Surau Al-Jannah, Taman Gunung Mas, di sini, semalam.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Tampin berkata, sistem MLFF digunakan secara meluas di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, Kanada serta Singapura menggunakan pengimbas laser untuk mengenal pasti kelas kenderaan sebelum bayaran ditolak daripada kad tol prabayar.
Melalui system itu, pengguna lebuh raya hanya perlu menggunakan kad tol prabayar dan memandu melintasi palang pengimbas tanpa perlu memperlahankan atau menghentikan kenderaan.
Bagaimanapun, Shaziman berkata sistem ini masih baru dan di peringkat kajian dan pelbagai kajian perlu dilakukan, termasuk daripada aspek undang-undang, sebelum MLFF diperluaskan ke plaza tol lain seluruh negara.