Standard projek air dibangunkan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

CIDB, PAAB meterai MoU bagi sedia kaedah ukur spesifikasi kerja, bahan

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) semalam memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) bagi membangunkan Kaedah Pengukuran Standard (SMM) untuk pemerolehan projek air dan air kumbahan.

SMM akan menjadi rujukan dan dokumen standard bagi semua pengukuran untuk kerja pembinaan yang mana ia bertujuan memastikan kecekapan, pemerolehan yang produktif dan kompetitif serta proses penyerahan projek.

CIDD dalam kenyataan semalam, menyatakan SMM penting bagi memastikan kaedah pengukuran sama untuk spesifikasi kerja dan bahan yang digunakan oleh kontraktor dalam melaksanakan projek air dan air kumbahan.

 "CIDB dan PAAB akan terbabit secara aktif dalam proses pembangunan SMM bagi penyediaan Jadual Kadar Harga untuk projek air dan air kumbahan," katan kenyataan itu.

Pengurus Besar Kanan CIDB, Sariah Abdul Karib memeterai MoU berkenaan bagi pihak CIDB, manakala PAAB diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Abdul Kadir Mohd Din.

Majlis disaksikan Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali; Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Hamzah Hassan dan Ketua Eksekutif PAAB, Ahmad Faizal.

CIDB bertanggungjawab dalam pembangunan keseluruhan industri pembinaan di Malaysia, manakala PAAB bertanggungjawab bagi mengambil alih prasarana air daripada semua negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengambilalihan itu bermatlamat menukar pengendali air negeri berkenaan menjadi entiti yang memiliki kurang aset dan hanya berperanan sebagai penyedia perkhidmatan.

Dengan pemeteraian MoU itu, PAAB akan menggunakan SMM sebagai kaedah pengukuran standard bagi projek air dan air kumbahan serta penyerahan bil kontrak kerja untuk semua projek air dan air kumbahan di seluruh negara.

CIDB berkata, MoU itu akan meningkatkan lagi hubungan antara CIDB dan PAAB untuk bekerjasama dalam membangunkan kaedah standard SSM yang komprehensif, lengkap serta diterima di seluruh negara untuk penyediaan Jadual Kadar Harga bagi projek air dan air kumbahan di Malaysia. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian