Penduduk Sri Hartamas dibelenggu kesesakan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Laluan dua lorong hubungkan lebuh raya Persekutuan, Bangsar, Penchala Link siap 2004 belum dibuka 

KUALA LUMPUR: Kemudahan jalan raya yang dibina sepatutnya menjadikan pergerakan kita lebih lancar, apatah lagi jika projek itu dibina di tengah kota dan kawasan tumpuan orang ramai. 

Namun, jika kemudahan yang dibina dengan kos jutaan ringgit tidak digunakan dan terbiar begitu saja, ia bukan saja merugikan masyarakat, malah menyebabkan pemanduan menjadi tidak lancar kerana kesesakan lalu lintas. 

Situasi itulah yang membelenggu penduduk dan pengguna jalan raya di Sri Hartamas kerana terpaksa berkongsi laluan dua lorong berikutan jalan yang dibina di kawasan itu tidak dapat dibuka untuk orang ramai berikutan masalah penyerahan tanah. 

Jalan itu dibina pada 2000 dan siap pada 2004 tetapi terpaksa dibiarkan begitu saja kerana tidak dapat dibuka. 

Projek itu menelan belanja RM10 juta dan membabitkan jarak 530 meter yang sepatutnya boleh menyediakan laluan lebih lancar kepada pengguna di Sri Hartamas serta pemandu dari Lebuhraya Persekutuan dan Bangsar untuk ke Penchala Link.  Jalan dua lorong yang setiap satu berkeluasan tujuh meter itu juga akan memudahkan pengguna dari Kerinchi Link untuk ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), namun masalah itu sudah terlalu lama dibiarkan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin teruk. 

Kesesakan timbul kerana jalan raya yang sepatutnya mempunyai empat lorong menjadi dua lorong kerana jalan berkenaan tidak dapat dibuka sekali gus menyebabkan kesesakan. 

Pengurus Komunikasi Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (Sprint), Zuhri Iskandar Kamarzaman, berkata satu jalan sementara dibina bagi memberi laluan kereta untuk ke NKVE, Mont Kiara, Bandar Utama, Damansara Utama dan Mutiara Damansara. 

"Bagaimanapun, laluan sementara itu kurang selamat digunakan kerana sempit dan boleh mengundang kemalangan terutama ketika kereta banyak pada waktu puncak. 

"Jika masalah tanah itu diselesaikan, Sprint juga bercadang membina satu lagi laluan yang menghubungkan pengguna dari Lebuhraya Persekutuan ke Mont Kiara," katanya. 

Kesan jalan tidak dibuka itu juga menyebabkan kawasan yang terbiar itu menjadi tempat meletak kenderaan untuk pengguna yang berurusan di kawasan perniagaan Sri Hartamas yang boleh mengundang bahaya seperti kemalangan. 

Zuhri berkata, bagi laluan ke NKVE dan Jalan Kuching, kira-kira 30,000 kereta menggunakan laluan itu setiap hari menyebabkan keadaan menjadi sangat sesak. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Sri Hartamas, H K Hor, berkata penduduk berharap jalan itu segera dibuka supaya masalah kesesakan lalu lintas dapat diatasi. 

"Semakin hari semakin ramai yang menggunakan laluan itu menyebabkan ia bertambah sesak. Saya terpaksa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama 10 hingga 15 minit untuk sampai ke rumah atau ke tempat kerja. 

"Walaupun kemalangan tidak teruk berlaku, keputusan membuka laluan itu perlu segera dibuat supaya masalah kesesakan dapat dikurangkan," katanya. 

Mohd Zaki Zulkapli, 21, kakitangan awam berkata projek itu adalah satu pembaziran kerana laluan itu tidak dapat disempurnakan sepenuhnya, malah sudah berlanjutan untuk tempoh jangka masa yang agak lama. 

"Jalan yang sedia ada menjadi semakin sesak kerana jumlah penggunanya yang bertambah berikutan pengguna yang ingin ke Mont Kiara dan Penchala Link terpaksa berkongsi laluan di Lebuhraya NKVE,? katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian