Syor serap sebahagian kenaikan kadar tol | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR-  Kementerian Kerjaraya mencadangkan lapan syarikat konsesi dan kerajaan masing-masing menyerap sebahagian kenaikan 10 peratus kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari depan,supaya tidak membebankan pengguna, kata Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Beliau berkata, kementerian berharap kerajaan dan syarikat konsesi bertolak ansur dan berkongsi sama rata peningkatan terbabit walaupun perjanjian konsesi membenarkan kenaikan 10 peratus.

"Saya sudah mengemukakan kertas cadangan asas kepada Kabinet mengenai berapa sebenarnya  kadar tol jika kenaikan 10 peratus dibenarkan dan kemungkinan reaksi penguna berdasarkan  pengalaman masa lalu.

"Kertas cadangan ini turut  mengesyorkan beberapa pendekatan yang wajar diambil kerajaan dan bagaimana syarikat konsesi boleh memenuhi tanggungjawab social bagi mengekang kenaikan tol demi kebajikan pengguna," katanya ketika dihubungi semalam.

 Berdasarkan perangkaan hingga suku pertama tahun ini, 19 syarikat konsesi lebuh raya tempatan mengutip tol sebanyak RM 23.66 bilion, termasuk jambatan Pulau Pinang dan laluan Kedua Malaysia- Singapura (Linkedua).

Secara keseluruhan, semua syarikat berkenaan membelanjakan RM 18.93 bilion bagi membina kemudahan terbabit dan menanggung kos purata RM 41 juta sebulan bagi menyelenggara infrastruktur di bawah pengurusan masing-masing.

Plus Berhad yang menguruskan Lebuhraya Utara -Selatan    mengutip tol RM 15.94 bilion sejak mula beroperasi pada 1988 hingga Disember tahun lalu.Penang Bridge Sdn Bhd, yang memiliki konsesi kutipan tol bagi Jambatan Pulau Pinang memperoleh RM 1.7 bilion manakala Lebuhraya Lingkaran Tengah Sdn Bhd, pengendalian Lebuh raya Elite, mengutip RM 1.05 bilion

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian