KEMENTERIAN Kerja Raya mencadangkan di mesyuarat mingguan jemaah menteri baru-baru ini supaya kadar tol lebuh raya ditetapkan untuk tempoh masa lebih panjang bagi mengurangkan beban pengguna.
Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, dengan langkah ini, pengguna jalan raya tidak akan dibebankan dengan kenaikan kadar tol setiap tiga hingga lima tahun seperti pada masa ini.
Selain itu katanya, kementerian itu juga mencadangkan supaya sebelum sebarang perjanjian konsesi di meterai antara kerajaan dan pihak terbabit untuk projek lebuh raya bertol, perbincangan oleh semua agensi kerajaan yang terlibat termasuk Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) perlu diadakan bagi mendapat maklum balas sebelum diluluskan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dua hari mengenai ?Pembangunan Infrastruktur dan Pembiayaan? anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini semalam.
Sebelum ini katanya, sebarang keputusan mengenai perjanjian konsesi hanya dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi(EPU) tanpa mendapat maklum balas daripada agensi kerajaan terlibat.
Samy Vellu berkata, selain itu, pendapat umum juga akan diperolehi sebelum sesuatu projek lebuh raya bertol dilaksanakan.
Menyentuh kertas kabinet mengernai keperluan menaikkan tol bagi sembilan syarikat konsesi lebuh raya bertol mulai 1 Januari depan, beliau berkata, kementerian itu akan membentangkannya pada 25 November ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.