Runtuh: Perundingan kontraktor disiasat | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Satu badan professional akan menjalankan siasatan termasuk terhadap perunding dan kontraktor berhubung  kejadian runtuhan bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di lereng Tasik Banding di Gerik Kelmarin.

Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, badan professional itu akan dilantik selepas selesai perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya yang akan memberi panduan dan nasihat kepada kerajaan negeri.

Kejadian itu sebenarnya berlaku sedikit demi sedikit (dan)  menurut  pegawai PTNP, JKR telah siasat dan telah melakukan kerja pengukuhan  supaya bangunan itu tidak runtuh selepas PTNP mendapati ada berlakunya kecondongan tanah dalam tempoh dua dan tiga minggu lepas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggun exco kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal JKR yang membuat  pemeriksaan ke tapak lawatan kejadian itu mungkin disebabkan terdapatnya satu atau dua cerucuk atau tiang yang lemah sehingga ia tidak boleh menampung struktur bangunan yang pembinaan fasa pertamanya  mendapat peruntukan RM 4.5 juta daripada Kementerian Pelancongan.

"Cerucuk atau tiang-tiang lain pula tidak dapat menampung beban yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal JKR juga, tiang atau cerucuk yang lemah itu mungkin disebabkan oleh ketidaksesuaian reka bentuk, bahan binaan , kerja pembinaan serta kualiti.

Bangunan itu yang menempatkan ruang  pejabat bilik pameran jualan, bilik penginapan serta tempat letak kereta, merupakan satu projek bagi menyediakan  kemudahan transit kepada pelancong yang ingin meneroka keindahan alam semula jadi dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum.

Semua operasi PTNP di pejabatnya yang terletak  di Gerik belum berpindah ke kawasan baru itu  kerana bangunan berkenaan belum diserahkan kepada perbadanan itu.

" Fasa pertama telah siap manakala fasa kedua tidak dijalankan lagi.Kerana ada penambahan bilik sehingga 26 dan 28 bilik seperti dicadangkan dan menjadi factor kelewatan. Ini kerana jika lebih 28 bilik, ada cukai yang perlu dibayar," katanya

Anggota Dewan Undangan Negeri Temenggor Datuk Hasbullah Othman berkata, sebahagian bangunan itu dipercayai runtuh pada 8 pagi  sebelum ranap terus kira-kira dua jam kemudian.

"Kita bersyukur kerana kejadian itu tidak  membabitkan kehilangan nyawa,? katanya kepada pemberita selepas  meninjau kawasan berkenaan.

Tapak bangunan yang menjadi pintu masuk ke Taman Negeri Royal Belum itu terlerak di  sebuah cerun bukit di tebing Tasik Temenggor.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuaj (BPR) Perak telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu, kata pengarahnya Samsiah Abu Bakar.

"Kita akan menyiasat dan mengenal pasti jika terdapat sebarang aspek kesalahan atau penyelewengan dalam projek berkenaan," katanya ketika dihubungi

Samsiah berkata BPR akan berkerjasaman dengan JKR untuk menyiasat  setiap aspek bagi mengenal pasti punca kejadian  sebelum tindakan diambil

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian