MIRI: Semua kontraktor Kelas A untuk kerja awam dikehendaki memiliki modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta jika Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) meluluskannya sebagai antara kriteria baru klasifikasi kontraktor kelas itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Musa Muhammad, berkata kini modal minimum yang disyaratkan untuk kontraktor kelas berkenaan adalah sebanyak RM600,001 dan kenaikan itu dicadangkan bagi memastikan mereka benar-benar serius dan mengutamakan kualiti dalam melaksanakan projek kerajaan.
"Mereka perlu bersedia (berkenaan perubahan kriteria ini) sebelum ia berlaku. Kita pun tidak dapat menunggu lama (untuk melaksanakan kriteria berkenaan)," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Kursus Peningkatan Kualiti Kontraktor Peringkat Zon oleh Setiausaha Parlimen kementerian itu, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman di sini, semalam.
Kriteria baru ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun depan dan akan juga melibatkan perubahan dalam elemen bilangan kakitangan teknikal, nilai projek, modal berbayar syarikat, kawasan operasi dan pemilikan sijil pengiktirafan Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO).
Beliau mengakui ada menerima rungutan daripada kontraktor berdaftar dengan PKK berkenaan cadangan pelaksanaan kriteria baru itu, tetapi menegaskan bahawa ia hanya mengutamakan mereka yang mampu menjalankan kerja yang bermutu tinggi.
Sementara itu, Samsu Baharun dalam ucapan perasmiannya berkata, antara Januari tahun lepas hingga setakat tahun ini, sejumlah 65 kontraktor sudah dibatalkan pendaftaran mereka kerana mengalibabakan lesennya, tidak aktif dan masalah lain.
Katanya isu seperti siling runtuh, paip bocor, dinding retak dan sebagainya sudah menjejaskan imej kontraktor yang menyebabkan kerajaan mengambil langkah supaya kontraktor berusaha meningkatkan kualiti kerja mereka.
"Terlalu banyak projek ditawarkan oleh kerajaan yang tidak harusnya menjadi alasan khususnya kepada kontraktor Bumiputera untuk gagal menghasilkan kerja yang berkualiti, sedangkan mereka boleh bekerjasama dengan kontraktor Bumiputera lain jika tidak mampu untuk menjalankan projek secara berseorangan.
"Sejumlah RM2.166 bilion diperuntukkan pada tahun ini bagi melaksanakan 33,000 buah projek penyelenggaraan awam, infrastruktur asas dan pembangunan kecil luar bandar di seluruh negara," katanya.
Katanya, sebahagian besar projek seperti ini ditawarkan secara tender terhad bagi memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk memperolehnya. - Bernama