KABINET bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol di empat lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang pada tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.
Bercakap kepada pemberita di sini semalam, berliau berkata, berikutan keputusan itu yang dibuat pada mesyuarat kabinet mingguan hari ini (semalam), kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM242 juta kepada empat pemegang konsesi berkenaan.
Empat Lebuh raya itu ialah Lebuh raya Bertingkat Ampang-Ulu Kelang (Prolintas), Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link dan Jambatan Pulau Pinang.
Samy Vellu berkata, bagaimanapun kadar tol di enam lebuh raya lain akan dinaikkan mengikut perjanjian konsesi.
Lebuh raya itu ialah Lebuh raya Seremban-Port Dickson; Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah; lebuh raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura; Lebuh raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam.
Samy Vellu berkata, ekoran keputusan untuk tidak menaikkan tol seperti mana yang terkandung dalam perjanjian konsesi dengan empat pemegang konsesi itu, kerajaan akan membayar kepada konsesi Prolintas sebanyak RM26 juta, Sprint RM32 juta dan Jambatan Pulau Pinang (RM39 juta).
"Jumlah pampasan ini adalah merupakan anggaran sahaja dan tertakluk kepada jumlah trafik sebenar," katanya.
Beliau berkata, selain itu kerajaan juga perlu membayar pampasan sebanyak RM75 juta kepada Syarikat Konsesi Lebuh raya Damansara-Puchong kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60 serta pampasan RM27 juta kepada Lebuh raya Pintas Selat Klang Utara Baru kerana tidak menaikkan kadar tol sejak 2005.
"Oleh yang demikian keseluruhan pampasan yang dibayar oleh kerajaan kerana tidak melaksanakan kenaikan tol bagi tahun 2008 adalah dianggarkan sebanyak RM344 juta," katanya.
Samy Vellu turut berkata, kadar kenaikan tol di enam lebuh raya itu melibatkan antara tujuh dan 50 peratus daripada kadar sekarang.