KUALA LUMPUR 27 Nov. - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu berkata, jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan berikutan keputusan menamatkan pembinaan jambatan bengkok ialah sebanyak RM222.4 juta.
Beliau berkata, harga asal kontrak bagi pakej jambatan bengkok dan jambatan kereta api ialah RM1.113 bilion.
"Bagi membolehkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) beroperasi, kerajaan memutuskan untuk membina jalan sementara menghubungkan Tambak Johor dan kompleks tersebut dengan jumlah RM190.7 juta," katanya menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Samy Vellu, Projek Gerbang Selatan Bersepadu mempunyai dua pakej asal iaitu pakej CIQ dan pakej jambatan bengkok dan jambatan kereta api.
Beliau berkata, tarikh milik tapak bagi kedua-dua pakej ialah pada 1 Januari 2003, tetapi atas keputusan kerajaan, kontrak bagi jambatan bengkok telah ditamatkan pada 12 April 2006.
Menjawab soalan tambahan Salahuddin, Menteri Kerja Raya itu berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh kementerian, ia bukan bersifat atas peribadinya sebagai menteri sebaliknya atas nama kerajaan.
Dalam membuat keputusan itu, katanya, kerajaan perlu mengambil kira kedudukan paip air besar yang terdapat di kawasan itu kerana ia membekalkan air ke Singapura.
"?Mahu pindahkan satu-satu paip ia mengambil masa kira-kira dua tahun. Kalau satu hari paip pecah, siapa mahu bayar kepada Singapura," soalnya.