IPOH: Tujuh orang terbunuh manakala 28 lagi cedera, termasuk empat parah apabila bas pesiaran yang membawa rombongan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah merempuh belakang sebuah lori di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan, awal pagi semalam, dipercayai akibat brek tidak berfungsi.
Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 4 pagi itu, enam mangsa termasuk pemandu bas terbabit, Lim Teh Lee, 49, dan pemandu keduanya, Saad Salleh, 45, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi di Hospital Ipoh (HI).
Lima ahli rombongan itu yang terbunuh dikenali Siti Rosadah Ibrahim, 46, Puteh Mat Isa, Mohamad Hussin, 50, Dahara Mohamad, 60 dan Nur Shuhadah Muhamad, 15.
Pasukan bomba dan penyelamat serta dibantu anggota Plus dan polis mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang kebanyakannya tersepit dalam bas yang remuk itu.
Bas yang membawa 35 penumpang itu dikatakan bertolak dari Kubang Jawi, Kuala Kedah, kira-kira jam 12.30 malam dan dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Rajab, berkata berdasarkan keterangan saksi, bas itu mengalami masalah brek selepas menuruni Terowong Menora dan dilihat terhoyong-hayang.
"Sebaik menuruni bukit menuju plaza tol, bas berkenaan gagal dikawal dipercayai kerana breknya tidak berfungsi lalu melanggar belakang lori terbabit.
"Akibat perlanggaran itu, kebanyakan penumpang yang duduk di kerusi hadapan tercampak keluar dari bahagian depan bas yang remuk teruk," katanya.
Beliau berkata, empat mangsa yang mengalami kecederaan parah, dirawat di HI, manakala 24 penumpang lagi cedera ringan.
Pemandu trailer yang membawa susu getah itu, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan membuat laporan polis sejurus selepas kejadian berkenaan.
Rodzi meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, turut melawat tempat kemalangan dan mangsa di HI.
Bercakap kepada pemberita, Samy Vellu berkata, pemandu bas itu mungkin terlalu mengantuk kerana memandu dalam tempoh masa yang lama.
Katanya, beliau pernah menyarankan Kementerian Pengangkutan supaya hanya membenarkan pemandu yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun untuk membawa bas atau lori.
"Ketika ini, sesiapa saja yang ada lesen walaupun baru sebulan sudah diterima memandu kenderaan berat terutama bas dan lori, sebaliknya mereka perlu dilatih dan tidak terus diterima sebagai pemandu," katanya.
Tajol Rosli pula berharap proses mengalihkan plaza tol berkenaan dapat dipercepatkan kerana kedudukannya sekarang membahayakan pemandu kenderaan.
Plaza tol itu akan dipindahkan ke kawasan satu kilometer dari situ dan projek berkenaan dijangka siap pertengahan tahun depan,
Tajol Rosli berkata, Umno Perak juga akan menyampaikan sagu hati kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kemalangan itu.