Mengelak nahas di 'Plaza Tol Maut' | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

Plaza tol Jelapang yang terletak di cerun dan kaki bukit dikenal pasti antara  kawasan Lebuh raya Utara-Selatan (Plus) di Perak yang kerap berlaku kemalangan maut, hingga ada memanggilnya 'PlazaTol Maut'.

Nahas terbaru awal pagi semalam meragut tujuh nyawa dan menyebabkan empat parah apabila sebuah bas persiaran dari arah utara yang membawa  penumpang untuk bercuti di Cameron Highlands merempuh sebuah lori tangki getah di plaza tol itu. 

Kejadian itu berlaku ketika pihak kerajaan sedang dalam usaha memindahkan plaza itu ke kedudukan lebih selamat, satu kilometer dari tempat asal, dan di jadual siap enam bulan lagi.

Plaza tol sekarang akan dirobohkan selepas siap kerja pembinaan jalan alternatif bersebelahan lebuh raya Plus sepanjang  kilometer untuk kegunaan penduduk Ipoh serta pembesaran laluan lebuh raya sedia ada dari dua ke tiga lorong.

Mulai pertengahan tahun depan pengguna Plus tidak perlu lagi berhenti untuk membayar dan mengambil tiket tol di Plaza Tol Jelapang dan Ipoh Selatan dengan wujudnya laluan tanpa henti selepas perpindahan kedua-dua plaza tol berkenaan.

Pemindahan kedua-dua plaza tol berkenaan dilakukan atas desakan orang ramai dan kerajaan negeri Perak kerana banyak kejadian kemalangan maut berlaku di plaza tol itu yang berpunca dari kedudukannya di cerun dan kaki bukit.

Pembinaan laluan alternatif kepada penduduk Ipoh itu antara Ipoh Selatan dan Jelapang  telah dimulakan pada Julai 2007 dan menelan kos RM280 juta termasuk dua plaza tol untuk pengguna yang ingin pergi ke Ipoh atau yang akan dibina dengan kos RM40juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri Datuk Ho Cheng Wang berkata, berdasarkan statistik Kumpulan UEM dan Plus, sebanyak 87 kes yang melibatkan kegagalan brek dan 59 kes lain berlaku antara tahun 2000 hingga 2004 di plaza itu.

Dalam pada itu, Plus telah membina di kawasan plaza itu perangkap kelajuan atau 'escape ramp' untuk kenderaan khususnya kenderaan berat dari arah utara yang mengalami kegagalan brek.

Pemandu kenderaan di nasihat melencongkan kenderaan mereka masuk ke 'escape ramp' tayar-tayar kenderaan yang akan tenggelam dalam lapisan longgar batu-batu kerikil sebagai cara untuk memberhentikan kenderaan.

Perangkap kelajuan itu julung kali dibina di Lebuh raya Utara-Selatan, dibuka pada April tahun lepas.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian