CIMP buka era baru industri pembinaan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

PELAN Induk Industri Pembinaan Malaysia (CIMP) yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam menekankan matlamat utama mengubah industri pembinaan Malaysia menjadi dinamik, produktif dan mempunyai ketahanan tinggi untuk memberikan sokongan berterusan dan mencipta nilai tambah daripada kemajuan teknologi.

CIMP yang dibangunkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama pihak berkepentingan dalam industri pembinaan itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa, membabitkan tempoh mulai 2006 hingga 2015 dan akan menjadi permulaan kepada era baru industri pembinaan di negara ini.

CIDB dalam kenyataannya berkata, fasa pertama CIMP yang membabitkan tempoh 2006 hingga 2008 ialah untuk menyelesaikan cabaran sedia ada dalam industri, fasa kedua mulai 2009 hingga 2012 untuk membangunkan keupayaan baru dan membina asas kukuh untuk industri meneroka ke luar negara, manakala fasa ketiga mulai 2013 hingga 2015 pula akan memberi perhatian terhadap keperluan industri untuk bersaing dalam persekitaran global.

"Matlamat akhir CIMP ialah supaya pada jangka panjang, industri pembinaan Malaysia akan dikategorikan kepada empat yang utama iaitu sebagai industri yang produktif dan berkesan, industri yang bersepadu, industri yang inovatif dan industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.

CIDB berkata, dari segi pelaksanaannya, sebahagian besar program yang dirancang CIMP akan dilaksanakannya secara terus, yang kebanyakannya akan membabitkan kerjasama dengan pihak terbabit dengan industri seperti pelbagai jabatan kerajaan dan agensi, institusi kewangan dan perbankan, institusi profesional, persatuan industri, institusi pengajian tinggi serta syarikat pembinaan.

CIMP turut mengenal pasti lapan elemen bagi memastikan kejayaannya iaitu produktiviti, kualiti, sumber manusia, pengetahuan, inovasi, amalan alam sekitar, kesinambungan industri dan profesionalisme, katanya.

Agensi itu berkata, untuk mencapai matlamat dan visi berkenaan, CIMP menggariskan tujuh strategi teras iaitu menyepadukan rantaian nilai industri pembinaan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan; mengukuhkan imej industri, mencapai kualiti dan standard tertinggi; melaksanakan amalan keselamatan pekerjaan dan alam sekitar; inovasi menerusi penyelidikan dan pembangunan serta mengadaptasi kaedah pembinaan baru; menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dan dalam industri pembinaan; dan membangunkan keupayaan dan kemampuan sumber manusia.

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian