Pengganti Plaza Tol Jelapang siap 60 peratus | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Plaza Tol Ipoh Utara yang akan menggantikan Plaza Tol Jelapang sudah 60 peratus siap, kata Pengurus Besar, Komunikasi Korporat, PLUS Expresway Berhad (PLUS), Khalilah Mohd. Talha.

Menurut beliau, pihaknya berasa lega kerana projek pemindahan itu akhirnya hampir selesai selepas banyak kemalangan maut berlaku di plaza tol berkenaan.

Katanya, proses pembinaan plaza tol baru itu dimulakan sejak tiga tahun lalu, namun, pihaknya terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kesukaran mengambil tanah individu dan merancang pelan pembinaannya.

"Ramai yang tidak tahu bahawa PLUS sudah menjalankan proses pemindahan sejak tiga tahun lalu, namun ia tidak dapat disiapkan kerana terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah.

"Proses pemindahan bukannya semudah yang disangka kerana ia membabitkan 100 pemilik tanah persendirian selain memerlukan perancangan yang teliti," jelasnya.

Pada 11 Disember lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan 

plaza tol baru bagi menggantikan Plaza Tol Jelapang di Perak akan disiapkan dalam tempoh enam bulan ini.

Menurut Samy Vellu, pembinaan plaza tol baru bernilai RM260 juta yang terletak kira-kira satu kilometer ke arah selatan dari tapak lama sedang giat dijalankan.

Khalilah menambah, plaza tol baru itu nanti akan memudahkan pengguna lebuh raya untuk menyusur keluar ke bandar raya Ipoh.

Malah, katanya, pengguna lebuh raya menghala ke utara tidak perlu lagi bimbang mengenai keselamatan mereka kerana kedudukannya terlalu jauh dari plaza tol yang lama.

"Saya cuma ingin menasihatkan pemandu supaya sentiasa memeriksa keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan terutamanya perjalanan jauh.

"Pemandu kenderaan berat diingatkan mematuhi arah PLUS supaya menggunakan gear rendah sewaktu menuruni cerun bukit berdekatan Plaza Tol Jelapang bagi mengelakkan kemalangan," ujarnya.

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia